Pengumuman Penting

 SILA LIHAT RAYUAN SUMBANGAN DI BAHAGIAN KANAN BLOG INI > > > > > > > > > > > > V V V V V V

05 Mei, 2009

TALQIN BUKAN BIDAAH DHOLALAH TETAPI SUATU SUNNAH YANG JELAS BERSUMBERKAN DARIPADA NABIصلى الله عليه وسلم



بسم الله الرحمن الرحيم. اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالمَِيْنَ ؛ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ سَيِّدِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ ؛ وَعَلى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِيْنَ هُمْ قُدْوَةُ الْعَارِفِيْنَ ؛ وَعَلى تَابِعِيْهِمْ وَتَابِعِى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانِ إِلى يَوْمِ الدِّيْنِ. وَبِهِ نَسْتَعِيْنُ ؛


1. PENGENALAN
Talqin perkara furu'iah dan tak perlu dibangkitkan lagi.Para ulama' silam sudah memutuskan hukum dalam perkara ini. Tapi semenjak mutakhir ni perkara ini semakin dibahaskan kembali.Saya hanya berada ditengah2. Kalau nak buat, dipersilakan.Dan kalau tak mahu,sila diamkan dari membida'hkan perkara yang telah diharuskan oleh para ulama' ni.Begitu juga dalam perkara-perkara seperti tahlil,baca quran dikubur,maulidurrasul dan sebagainya.Semuanya itu sudah diputuskan hukumnya oleh ulama'-ulama' silam beserta dengan dalil-dalilnya sekali.Cuma manusia dizaman mutakhir ni nak cuba tunjuk lebih pandai dari ulama'-ulama' silam dengan membangkitkan kembali perkara-perkara yang tersebut.

Semua dalil-dalilnya dah ada dalam kitab-kitab turos karangan ulama'-ulama' silam bersumberkan Al-Quran,hadis nabi s.a.w ,ijma' ulama' dan qias.Cuma kita jer tak cuba cari dan memahaminya. Lepas tu mula lah kata semua perkara tersebut tu hanyalah taqlid membuta tuli dari orang-orang zaman dulu dengan tak ada asas-asas agama. Kalau macam tu, kenapa zaman dulu ulama'-ulama' tak menegah perkara-perkara yang tersebut? Jahilkah ulama' nusantara silam? Atau pada masa itu tak ada ulama'? Kalau tak tau, baik kita guna mauqif diam saja daripada menyentuh perkara-perkara furu'iah yang ulama'-ulama' dulu dah menerangkan segala hukum hakamnya.

Kalau kita perhatikan lagi,golongan-golongan yang mempelopori perkara-perkara yang dikatakan adat yang bidaa'h itu ialah golongan tok-tok guru dan ustaz-ustaz pondok yang memang telah diakui sebagai institusi pengajian yang memang berlandaskan taqwa sejak zaman berzaman lagi.Adakah mereka ni boleh dikatakan jahil kerana mempertahankan perkara-perkara yang dikatakan bidaa'h lagi sesat tu.

Saya sudah kerapkali dihujani pertanyaan oleh ramai rakan-rakan saya yang mana meminta saya menghuraikan masalah talqin. Sebabnya, mereka keliru dan dikufur serta dikurafatkan oleh segelintir golongan. Akibat kesuntukan masa, saya diamkan sahaja dahulu. Akan tetapi semakin dibiarkan keadaan kekeliruan sekarang, semakin menjadi-jadi serta sifat tuduhan yang dibuat pula adalah secara melulu tanpa ilmu oleh sesetengah pihak. Oleh yang demikian, maka saya keluarkan juga risalah ini yang mana bahagian pertama daripada beberapa bahagian yang saya tidak tahu banyak mana. Mudah-mudahan ianya memberi manafaat kepada pihak yang berkaitan.

Dalam persoalan masalah talqin ini, sesetengah golongan hari ini seringkali menggunakan dalil daripada ayat 22 daripada Surah Fathir dengan menyalahtafsirkannya. Mereka menyatakan bahawa ( انك لا تسمه الموتى ) iaitu “engkau tidak memperdengarkan orang-orang yang telah mati“, dan (وما انت بمسمع من فى القبور) iaitu “dan tiada engkau memperdengarkan mereka di dalam kubur“.

Di sini, saya berikan semula keterangan ayat tersebut (secara ringkas). Firman Allah Ta’ala, (Surah Fathir, ayat 22)::

وَمَا يَسْتَوِي الأَحْيَآءُ وَلاَ الأَمْوَاتُ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُوَمَآ أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ


Maksudnya::

“Dan (demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup (ya’ni orang-orang yang hidup hatinya dengan iman) dengan orang-orang yang mati (ya’ni orang-orang yang mati hatinya disebabkan sikapnya tetap degil di dalam kekufurannya).

Sesungguhnya (الله) – menurut peraturan kejadian-Nya – dapat menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mendengar (ajaran-ajaran kitab (الله) serta menerimannya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya) (nota:: dari ayat ini hingga ayat 26, memberi semangat kepada junjungan kita Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم) supaya berjuang terus menegakkan Islam dan jangan menghiraukan tentangan-tentangan orang-orang yang engkar).”



Jelaslah di sini, mereka tidak tahu mentafsirkan dan melakukannya barangkali secara dzahir atau kehendak hati mereka. Di sini, murad atau yang dikehendaki dengan (الموتى) dan (من) di sini adalah orang kafir, bukannya orang mati - isti’arah (استعاره) namanya. Dengan sebab yang demikian, golongan yang sedemikian pada hemat saya termasuk di dalam maksud hadits-hadits berikut::

1) Lihat dalam Sunan Tarmidzi, pada bab باب ما جاء في الذي يفسر القرآن برأيه


٤٠٢٢- ﴿ حدثنا محمود بن غيلان، أخبرنا بشر بن السري، أخبرنا بشر بن السري، أخبرنا سفيان عن عبد الأعلى عن سعيد بن جبير عن ابن عباس. قال: قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم:
“من قال في القرآن بغير علم فليتبوأ مقعده من النار”. ﴾
هذا حديث حسن صحيح.‏



2) Lihat dalam Sunan Tarmidzi, juga pada bab (باب ما جاء في الذي يفسر القرآن برأيه)


٤٠٢٣- ﴿ حدثنا سفيان بن وكيع، أخبرنا سويد بن عمرو الكلي، أخبرنا أبو عوانة عن عبد الأعلى عن سعيد بن جبير عن ابن عباس عن النبي صلى اللّه عليه وسلم قال:
“اتقوا الحديث عني الا ما علمتم فمن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار، ومن قال في القرآن برأيه فليتبوأ مقعده من النار”.﴾
هذا حديث حسن.‏



Maksud daripada kedua-dua hadits di atas ialah barangsiapa yang mentafsirkan (قرآن) dengan pilihannya atau kehendak hatinya, (iaitu tidak betul mengikut kehendak ayat dengan sebab-sebab turun dan umpamanya), maka hendaklah menempah satu tempat duduknya daripada Neraka.

Di sini, saya ingin jelaskan, saya hanya bertindak menjadi Qari sahaja, dengan kata lain tukang baca. Kebelakangan ini saya diserang dengan menyatakan bahawa saya “membidaah balik dan menghentam sesetengah orang/ilmuan” – sedangkan sebelumnya mereka pula yang menyatakan bahawa orang yang beramal yang amalan-amalan tertentu dan fahaman-fahaman tertentu sebagai bidaah dan wajib bertaubat.

Dengan minta maaf dan rendah diri, ingin saya nyatakan di sini, apa yang saya sebutkan ini bukan soal baru, tetapi sudahpun disebut lebih 1000 tahun lepas. Dalam soal ini, peranan dan tujuan saya jelas. Soal hendak menerimanya atau tidak, ikut sukalah. Jelasnya, saya tidak mahu berbalah dengan mana-mana ilmuanpun dalam soal ini.

2. DALIL- DALIL AL-QURAN DAN HADITS NABI (صلى الله عليه وسلم)


Permasalahan talqin ini sedikit sebanyak berkaitan dengan soal aqidah ahlus Sunnah Wal Jama’ah, iaitu perkara yang berkaitan yang keadaan orang yang sudah mati di dunia memasuki alam barzah iaitu alam kubur.

Pertamanya, kita lihat firman (الله تعالى), (Surah Adz-Dzariyat, ayat 55)::

( وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ )


Maksudnya::

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”



Ayat ini jelas menunjukkan bahawa peringatan seperti yang dilakukan dalam amalan talqin itu yang mana merupakan kata-kata peringatan berguna atau mendatangkan faedah kepada orang yang hidup.

Masalahnya sekarang adalah adakah talqin itu memberikan faedah kepada orang yang baru mati tetapi (sebenarnya) mula memasuki semula alam barzah. Adakah si mati berkenaan hidup semula dan mendengar kata-kata talqin yang diucapkan atau tidak? Perkara ini akan kita huraikan sedikit demi sedikit. (إن شاء الله تعالى).

Surah Al-Fathir, ayat 22-23

Kali ini kita huraikan lebih lanjut ayat Surah Al-Fathir iaitu ayat 22 yang diberikan sebelum ini kerana ayat ini dijadikan dalil oleh golongan tabdi’ iaitu “golongan yang suka membid’ahkan manusia lain”.

Segolongan manusia yang kemudian menyatakan talqin itu bida’ah dan tidak berguna kerana orang yang sudah mati tidak mendengar lagi apa yang diucapkan. Oleh itu dikatakan orang yang melakukan talqin adalah orang yang bodoh kerana bercakap-cakap dengan orang yang sudah tidak mendengar seumpama bercakap dengan batu. Dikatakan bahawa dalilnya adalah firman Allah Ta’ala (Surah Faathir, ayat 22)::

( وَمَآ أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ )


Maksudnya::

”Dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya)”.



Kita sudah perjelaskan masalah ini dalam Bahagian Pengenalan dengan menyatakan kesalah tafsiran mereka yang berkenaan. Kali ini kita merujuk pula kepada kitab-kitab Tafsir yang muktabar dan muktamad yang mana jelas menyatakan bahawa (من فى القبور) di dalam ayat bukanlah bermaksud ”orang yang di dalam kubur” secara harfiahnya, tetapi yang dimaksudkan adalah ”orang kafir” iaitu dengan erti majaz atau secara kiasan. Di dalam Tafsir Al-Khazin dijelaskan sebagaimana berikut::

(( يعنى الكفار شبههم بالأموات فى القبور لأنهم لايجيبون إذادعوا (( – الخازن ج ه ص 247


Ertinya::

“Maksudnya adalah orang kafir. Diserupakan mereka orang kafir itu dengan orang yang mati dalam kubur kerana mereka sama-sama tidak menjawab kalau dipanggil” – Khazin Juz 5, ms 247.



Kalau kita lihat pula ayat-ayat dalam Surah Fathir, iaitu ayat-ayat 22 dan 23 keseluruhannya adalah sebagaimana berikut::

( وَمَا يَسْتَوِي الأَحْيَآءَُ وَلاَ الأَمْوَاتُُ (ج) إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُ (صلى) وَمَآ أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ (22)
إِنْ أَنْتَ إِلاَّ نّذِيْرٌ )


Maksudnya::

Dan (demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup (ya’ni orang-orang yang hidup hatinya dengan iman) dengan orang-orang yang mati (ya’ni orang-orang yang mati hatinya disebabkan sikapnya tetap degil di dalam kekufurannya).
Sesungguhnya (الله) – menurut peraturan kejadian-Nya – dapat menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mendengar (ajaran-ajaran kitab Allah serta menerimannya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).

Engkau tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.



Ayat 23 iaitu (إِنْ أَنْتَ إِلاَّ نّذِيْرٌ) terletak di belakang ayat 22 yang mana ertinya ”engkau tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran”. Ini membuktikan dan memberi petunjuk bahawa yang dimaksudkan dengan ”orang yang di dalam kubur” dalam ayat sebelumnya adalah ”orang kafir”.

Katakan diertikan ayat 22 itu ”orang mati” dengan erti harfiahnya, maka ayat itu menjadi ganjil bunyinya kalau disambungkan dengan ayat 23, seumpama berikut::

”Engkau wahai Muhammad tidak dapat menjadikan orang mati mendengar tetapi engkau hanya menjadi Rasul untuk memberi peringatan dan amaran kepada orang mati.”



Bukankah begitu janggal jadinya ayat yang dimaknakan sedemikian jika yang dimaksudkan itu adalah ”orang mati”?.


Surah An-Naml, ayat 80

Seterusnya, dalil mereka mengatakan bahawa talqin itu tidak berguna kerana orang yang sudah mati tidak dapat lagi mendengar dengan membawa ayat 80 Surah An-Naml, sebagaimana berikut::

( إِنَّكَ لَا تُسْمِعُ الْمَوْتَى وَلَا تُسْمِعُ الصُّمَّ الدُّعَاء إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ )


Maksudnya::

”Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang.”



Kita petik ayat ini dengan lengkap agar dapat kita selidiki dan fahami dengan baik.

( إِنَّكَ لَا تُسْمِعُ الْمَوْتَى وَلَا تُسْمِعُ الصُّمَّ الدُّعَاء إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ (80) وَمَا أَنتَ بِهَادِي الْعُمْيِ عَن ضَلَالَتِهِمْ إِن تُسْمِعُ إِلَّا مَن يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا فَهُم مُّسْلِمُونَ )


Maksudnya::

”Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keengkarannya).

Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang bersih diri dengan ikhlas.”



Ayat yang digunakan sebagai dalil membatalkan dan membid’ahkan talqin ini, dan ayat-ayat yang berikutnya sebenarnya adalah berkaitan dengan keterangan daripada Allah Ta’ala bahawa orang-orang kafir yang degil dengan kekufuran mereka adalah ibarat orang-orang yang telah mati hatinya, pekak telinganya, dan buta matanya; maka engkau wahai Muhammad tidak akan dapat menjadikan mereka memahami, mendengar dan melihat kebenaran Islam yang engkau serukan itu, apatah lagi beriman.

Ayat 80 ini serupa bunyinya dengan ayat 52 Surah Ar-Rum. Dalam surah Ar-Rum ’fa’ digunakan pada permulaannya, dan pada ayat 80 Surah An-Naml ”wau” digunakan. Dalam ilmu Nahwu ”fa” biasanya diikuti dengan tafsiliah (penjelasan selanjutnya) – iaitu fa tafsiliah, manakala ”wau” adalah untuk na’at atau kaitan atau sambungan ayat yang berkaitan dengan sebelumnya.

Dalam Tafsir Thabary yang ditulis lebih 1100 tahun yang lepas (iaitu semasa kurun salaf oleh Imam Ath-Thabary) disebutkan::

(( إنك يا محمد لا تقدر أن تفهم الحق من طبع الله على قلبه فأماته لأن الله قد ختمهم عليه ألايفهمه، ولاتقدرأن تسمع ذلك من أصم الله عن سماعه إذا ولوا مدبرين – الطبرى ج 20 ص 12 ))


Ertinya::

“Engkau, wahai Muhammad, tidak berkuasa memahamkan yang hak kepada orang yang sudah ditutup mata hatinya, kerana Tuhan telah mencap hati itu sehingga ia tidak mengerti lagi.

Dan engkau tidak sanggup memberi pendengaran kepada orang yang ditulikan Tuhan akan pendengarannya, apabila mereka lari membelakang.” – Tafsir Thabary, Juzuk 20, muka surat 12.



Dalam Tafsir Al-Khazin pula disebutkan bahawa yang ”dimaksudkan ialah mati hati, iaitu orang kafir” – rujuk Tafsir Al-Khazin, Juzuk 5, muka surat 129.

Jadi, ayat-ayat yang dipetik oleh golongan berkenaan yang dibincangkan dalam risalah kecil ini, iaitu ayat 22 Surat Fathir dan ayat 80 Surah An-Naml, dan juga ayat 52 Surah Ar-Rum, semuanya sejalan dengan ayat 56 surah Al-Qashash, iaitu::

( إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ )


Maksudnya::

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk.”



Kesemua ayat yang dipetik oleh golongan berkenaan untuk membid’ahkan atau menyalahkan sunnah talqin adalah ayat-ayat majaz (kiasan) yang makna yang dikehendaki bukanlah sebagaimana yang difahami oleh mereka secara harfiah.

Jelas bahawa mereka yang berkenaan mengamalkan kaedah tafsir secara zahir ayat yang dipelopori oleh Daud Adz-Dzahiri, yang kemudiannya dikembangkan pula segolongan manusia pada kurun mutakhir ini. Kaedah ini adalah batil dan ditolak oleh jumhur ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Perkara ini dinyatakan sebagai pemberitahuan. Dalil-dalil dan hujah yang menyangkal kaedah ini adalah perkara yang di luar daripada topik perbincangan ini

Perbincangan seterusnya adalah berkenaan dalil-dalil yang digunakan dalam meletakkan hukum Sunat untuk amalan talqin oleh para ulama muktabar dari golongan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, khususnya jumhur ulama’ Syafi’iyah dan lain-lain. InsyaAllah Ta’ala

3. KETERANGAN-KETERANGAN HADITS RASULULLAH SAW

Sebelum membahaskan akan dalil-dalil Quran dan Sunnah yang berkaitan dalam bahagian 4 - InsyaAllah, dalam bahagian ini saya petik dahulu keterangan-keterangan daripada hadits-hadits Rasulullah saw, khususnya hadits-hadits shahih, hasan, sama ada li zatihi atau li ghairihi.

1. Shahih Bukhary

Lihat pada bab (باب: التعوذ من عذاب القبر)


١٣٠٨- حدثنا عياش بن الوليد: حدثنا عبد الأعلى: حدثنا سعيد، عن قتادة، عن أنس بن مالك رضي الله عنه أنه حدثهم:
أن رسول صلى الله عليه وسلم قال:
(إن العبد إذا وضع في قبره، وتولى عنه أصحابه، وإنه ليسمع قرع نعالهم، أتاه ملكان، فيقعدانه فيقولان: ما كنت تقول في هذا الرجل، لمحمد صلى الله عليه وسلم، فأما المؤمن فيقول: أشهد أنه عبد الله ورسوله، فيقال له: انظر إلى مقعدك من النار، قد أبدلك الله به مقعدا من الجنة، فيراهما جميعا(.

قال قتادة وذكر لنا: أنه يفسح في قبره، ثم رجع إلى حديث أنس، قال: ﴿ وأما المنافق والكافر فيقال له: ما كنت تقول في هذا الرجل؟ فيقول: لا أدري، كنت أقول ما يقول الناس، فيقال: لا دريت ولا تليت، ويضرب بمطارق من حديث ضربة، فيصيح صيحة، يسمعها من يليه غير الثقلين.﴾
- ر: ١٢٧٣.‏


Maksudnya (lebih kurang)::

Daripada Anas bin Malik (رضى الله عنه), dari Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم), baginda bersabda:

“Apabila hamba Allah telah diletakkan dalam kuburnya, dan ia telah ditinggalkan, dan para sahabatnya telah kembali pulang sehingga ia mendengar derap sandal (/terompah/kasut) mereka, datanglah ketika itu dua malaikat, lalu keduanya memerintahkan supaya mayit (iaitu si mati) itu duduk.

Keduanya bertanya: “Apa pendapatmu tentang lelaki ini iaitu Muhammad?”
Sekiranya (si mati itu) orang mukmin maka ia menjawab: “Saya akui bahawa beliau hamba Allah dan Rasul-Nya.”

Maka kedua malaikat itu berkata: “Lihatlah tempatmu yang mulanya dalam neraka sudah ditukar dengan tempat dalam syurga. Semuanya melihat ke arah itu.”

Sekiranya orang kafir dan munafiq, ketika ditanya serupa itu (maka ia lalu) menjawab: “Saya tidak tahu. Saya hanya mengikuti kata orang.”

Lalu malaikat itu berkata kepadanya: “Wah, engkau tidak tahu dan engkau tidak membaca.”

Kemudian ia dipukul dengan palu besi antara dua telinganya, sehingga ia menjerit dan memekik kesakitan, yang mana pekikannya itu didengari oleh sekelian makhluk, kecuali para manusia dan jin.

- Hadits riwayat Imam Bukhari, Juzu’ 1 ms 169 - hadits ke 1273, dan ada juga dalam Fathul Bary, Juzu’ 3, ms 449.



KETERANGAN HADITS

Hadits ini adalah satu hadits shahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (رحمه الله تعالى)

Daripada hadits ini dapatlah kita tahu bahawa si mati (atau mayit) yang berada di dalam kubur mendengar derap-derap kasut atau sandal mereka yang menguruskan dan menghantarnya ke tempat persemadian jenazahnya. Hadits ini menjadi dalil yang kuat bahawa si mati atau mayit itu dikembalikan rohnya ke tubuhnya sesudah dikuburkan, sehingga dia mendengar sandal atau kasut orang yang berjalan pulang setelah pengkebumiannya.

Guru atau syeikh hadits kami semasa menerangkan hadits ini kepada kami menyatakan bahawa ruh itu dikembalikan kepada badan si mati yang mana kehidupannya di alam barzah adalah kehidupan dalam keadaan separa, iaitu selayaknya sebagaimana kehidupan di alam barzah/kubur, bukan sebagaimana kehidupan seharian manusia di alam dunia.

Dalam suatu hadits shahih yang juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari (رحمه الله تعالى) dikatakan bahawa pendengaran orang yang mati (daripada kehidupan dunia) itu lebih tajam daripada kita (yang masih hidup di dunia ini), sehinggakan ia mendengar apa yang diucapkan oleh orang yang hidup. Maka suara orang yang mentalqinkannya itu sudah tentu dapat didengarnya.

Nanti saya berikan hadits di mana Rasulullah menyeru Abu Jahal, dan lain-lain orang kafir yang mati yang dimasukkan ke dalam sebuah perigi, setelah tamatnya peperangan Badar Al-Kubra. Hadits ini juga dan hadits di atas menjelaskan bahawa orang yang baru mati di dunia, dihidupkan semula untuk memulakan kehidupan barunya di alam barzah sehingga dapat mendengar suara manusia yang menyerunya di dunia. Wallahu A’lam.

Kita sambung lagi nanti, InsyaAllah. Biar sedikit-sedikit agar dapat kita halusi masalah ini dan faham dengan sebenar-benarnya bagi menolak bida’ah dan syubhat serta kejahilan mereka yang ditutup hatinya dan pengetahuannya daripada hikmah oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Hadits kedua yang akan kita kemukakan kali ini adalah hadits yang saya sebutkan dalam bahagian yang lepas di mana kata-kata seruan Rasulullah saw kepada kaum kafir yang mati dalam peperangan Badar.

2. Saudara boleh merujuk hadits ini pada kitab Shahih Muslim, iaitu kitab (كتاب الجنة، وصفة نعيمها وأهلها) bab (باب عرض مقعد الميت من الجنة أو النار عليه، وإثبات عذاب القبر، والتعوذ منه).

حدثنا هداب بن خالد. حدثنا حماد بن سلمة عن ثابت البناني، عن أنس بن مالك؛
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ترك قتلى بدر ثلاثا. ثم أتاهم فقام عليهم فناداهم فقال “يا أبا جهل بن هشام! يا أمية بن خلف! يا عتبة بن ربيعة! يا شيبة بن ربيعة! أليس قد وجدتم ما وعد ربكم حقا؟ فإني قد وجدت ما وعدني ربي حقا” فسمع عمر قول النبي صلى الله عليه وسلم. فقال: يا رسول الله! كيف يسمعوا وأنى يجيبوا وقد جيفوا؟ قال “والذي نفسي بيده! ما أنتم بأسمع لما أقول منهم. ولكنهم لا يقدرون أن يجيبوا” ثم أمر بهم فسحبوا.


Maksudnya::

Dari Anas bin Malik (رضى الله عنه) beliau berkata:
Bahawasanya Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) membiarkan mayat orang kafir yang terbunuh dalam peperangan Badar selama 3 hari, kemudian baginda datang kepada mereka di Badar. Baginda berdiri sambil memanggil mereka:

“Ya Abu Jahal bin Hisyam, ya Umayyah bin Khalaf, ya ‘Utbah bin Rabi’ah, ya Syaibah bin Rabi’ah! Apakah tidak benar janji Tuhan yang dijanjikan kepadamu? (ya’ni kekalahan dan terbunuh). Aku telah menerima apa yang dijanjikan Tuhan kepadaku (ya’ni kemenangan).”
Setelah Sayyidina ’Umar bin Al-Khattab mendengar ucapan ini dan baginda kelihatan bercakap-cakap dengan orang yang mati, lalu (Sayyidina ’Umar) bertanya:

”Ya Rasulullah! Bagaimana mereka boleh mendengar dan bagaimana mereka boleh menjawab pertanyaan itu sedangkan mereka sudah menjadi bangkai tidak bernyawa lagi?”
Rasulullah menjawab kepada Sayyidina ’Umar:

”Demi Tuhan yang memegang jiwaku, mereka mendengar suaraku lebih dari kamu mendengarku ( maksudnya lebih jelas lagi pendengaran mereka - (والله أعلم ), tetapi mereka tidak dapat menjawabnya.“



KETERANGAN HADITS

Seperti yang selalu dibuat, keterangan sanadnya saya tidak terjemahkan. Hanya matannya sahaja yang diterjemahkan dan lafazh hadits ini yang saya gunakan adalah sebagaimana yang terdapat dalam Syarah Muslim Juzu’ 17, muka surat 206 – 207.

Hadits ini adalah hadits shahih riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim. Hadits ini adalah sangat tinggi darjat keshahihannya kerana ianya ”mutttafaq ’alaihi” – iaitu dirawikan oleh kedua-dua Imam Hadits yang amat dipercayai iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Hadits ini jelas menunjukkan bahawa orang yang mati yang berada di kuburan mereka mendengar ucapan orang yang hidup. Dalam kejadian yang disebutkan dalam hadits ini mayat para kuffar itu dimasukkan ke dalam satu perigi buta (sumur yang tiada air lagi) di medan perang Badar dan ditanamkan di situ kesemua mereka.

Carta Struktur Organisasi

Carta Struktur Organisasi
Pusat Pengajian Islam Mohd Nor Al-Bakri

VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul

MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.

· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.

OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.

· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.

· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.

· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

القرآن