Pengumuman Penting

 SILA LIHAT RAYUAN SUMBANGAN DI BAHAGIAN KANAN BLOG INI > > > > > > > > > > > > V V V V V V

13 Januari, 2013

Hukum Maulid & Berzanji

Rabi`ul Awal tiba lagi, bulan istimewa yang dimuliakan dengan zahirnya rahmat bagi sekalian alam. Rahmat yang mesti diingati setiap saat dan ketika. Rahmat yang mesti disyukuri, rahmat terbesar anugerah Ilahi. Alam dan segala isinya turut bergembira ketika tibanya cahaya Sang Nabi, cahaya yang ditunggu-tunggu yang menerangi seluruh alam maya. Wajar bagi kita untuk bersyukur dan berbangga kerana menjadi umat Baginda, tetapi alangkah bahagianya bila Baginda juga berbangga dengan kita sebagai umatnya. Bagaimana bisa kita menggembirakan Junjungan kita?
Perhatikanlah kalam Habib Ali Al-Habsyi :-
بيضوا وجه نبيكم بصالح أعمالكم
Ceriakanlah wajah Nabimu dengan amalan soleh
Jadikanlah sambutan Maulid Junjungan Nabi s.a.w. sebagai wadah untuk menyemarakkan lagi kecintaan dan kerinduan kita kepada Baginda. Teramat penting bagi kita selaku umat Baginda untuk mengikuti, menuruti dan mentaati segala perintah junjungan Nabi s.a.w. dengan penuh mahabbah. Mahabbah kepada Junjungan akan menaikkan taraf darjat kita di sisi Baginda. Marilah kita tingkatkan amalan-amalan soleh kita. Lidah kita lazimkanlah dengan ucapan zikir dan selawat. Anggota-anggota kita dijaga dari segala maksiat. Nescaya Junjungan pasti akan berbangga mengaku kita sebagai umat Baginda. Percayalah bahawa selagi nafas masih ada, jalan untuk membaiki diri masih terbuka. Maka jangan sia-siakan, kerana detik terakhir tidak kita ketahui bila ianya.
Rindu kami padamu ya Rasul, Rindu tiada terperi, Berabad jarak darimu ya Rasul, Seakan dikau di sini, Cinta ikhlasmu pada manusia, Bagai cahaya syurga, Dapatkah kami membalas cintamu, Secara bersahaja.
Maulid Barzanji telah masyhur di rantau sebelah kita. Amalan membacanya telah menjadi tradisi masyarakat kita di tanah Melayu ini. Ketibaan bulan kelahiran junjungan Nabi s.a.w.memeriahkan lagi majlis-majlis pembacaan kitab Maulid Barzanji dan alhamdulillah ianya masih berkekalan sehingga ke saat ini. Sungguh menghairankan apabila membaca kitab sirah yang sarat dengan mahabbatur rasul, tiba-tiba hendak diharamkan kerana kononnya itu bid`ah dan ada unsur pengagungan yang berlebihan, sedangkan apa yang didakwa syirik dan berlebihan itu hanyalah kesalahan mereka dalam memahami kata-kata Imam al-Barzanji, akibat kail mereka yang hanya sejengkal untuk menduga lautan yang dalam. Syukurlah, amalan bermaulid, bermarhaban dan berzanji telah mendapat sokongan dan dokongan para ulama kita. Antaranya seperti di Sarawak oleh almarhum Shohibus Samahah Datuk Hj Abd Kadir Hassan. Datuk Kadir Hassan (gambar bawah) dalam fatwanya menyatakan:-
Soalan:- Apa pandangan Islam terhadap zikir marhaban seperti diamalkan masyarakat Islam pada hari ini ?
Jawapan:- Pada hakikatnya adalah merupakan sebagai puji-pujian dan mengucap selawat dan salam kepada Junjungan s.a.w. Berdiri ketika sampai kepada bacaan Nabi dilahirkan lalu membawa "Marhaban Jaddal Husaini", "Ashraqal Badru 'Alaina" dan lain-lain seterusnya sebagai menghormati Nabi Muhammad s.a.w. adalah amalan-amalan yang baik dan tiada sekali-kali terlarang di dalam syarak, asal jangan berubah kalimat-kalimatnya yang boleh merosak makna. Sayyid Zaini Dahlan, Mufti Besar Imam Syafie di Mekah (wafat 1304H) berpendapat bahawa mengadakan Maulud Nabi dengan membaca kisah-kisah baginda dan berdiri dan membesarkan Nabi s.a.w. adalah suatu hal yang baik. Imam Taqiyuddin as-Subki, seorang ulama yang terbesar dalam Mazhab asy-Syafie (wafat tahun 657H) juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi. Tidaklah diragu-ragukan bahawa mengadakan Zikir Marhaban seperti yang berlaku di dalam masyarakat kita, tidaklah sekali-kali ditegah dalam syarak malah ianya adalah termasuk di dalam pekerjaan yang baik.
Selain almarhum Mufti Sarawak tersebut, Shohibus Samahah Datuk Hj Mohd. Yunus bin Mohd Yatim, mufti ke-3 Negeri Melaka, (gambar bawah) turut mendokong amalan berzanji. Beliau menyatakan:-
Soalan: Apakah hukumnya berzanji yang diamalkan di negeri ini? Ada yang mengatakan baik kerana mengingati sejarah Rasulullah, juga memuliakan Rasulullah.
Jawapan: Adalah dimaklumkan bahawa berzanji telah menjadi satu tradisi keagamaan bagi masyarakat Islam di sebelah sini dan ia dianggap salah satu cabang kebudayaan Islam. Kitab barzanji yang dibaca itu mengandungi sejarah hidup Rasulullah (Sirah Nabawiyyah) selain daripada puji-pujian bagi Rasul junjungan alam. Membacanya mendapat pahala dengan niat hendak mengetahui sejarah hidup Rasulullah. Orang Islam hendaklah mengetahui Rasulullah, ayahanda dan bonda juga anak-anaknya walaupun kebanyakan umat Islam di negeri ini yang berzanji tidak faham ertinya tetapi bacaan-bacaan mereka betul dan tidak lari dari ayat-ayat yang berkenaan.
Oleh itu, berzanji diberi pahala kepada yang membacanya kerana ada kaitan dengan sejarah Rasulullah s.a.w dan memuliakan Rasul utusan Allah itu, sebagaimana firman Allah Azzawajalla:-
إِنَّ اللَّه وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucap selawat atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah berselawat dan salam ke atas Baginda". (Surah Al-Ahzab: 56).
!صلوا على النبى

Carta Struktur Organisasi

Carta Struktur Organisasi
Pusat Pengajian Islam Mohd Nor Al-Bakri

VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul

MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.

· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.

OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.

· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.

· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.

· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

القرآن