Pengumuman Penting
SILA LIHAT RAYUAN SUMBANGAN DI BAHAGIAN KANAN BLOG INI > > > > > > > > > > > > V V V V V V
14 Oktober, 2008
KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN
Siri Pengajian Kitab Turos
(Ibnu Rubat)
Muqaddimah
Firman Allah Taa’la: “Sungguh mendapat kemenanganlah orang yang menyucikan dirinya (dengan berzakat fitrah). Dan ia menyebut nama tuhannya (dengan bertakbir,bertahlil dan bertahmid dihari raya) maka ia bersolat (sunat hari raya)”. [Surah Al-A’la: ayat 14-15]
Hari raya aidilfitri ialah simbolik hari kemenangan bagi umat Islam selepas berhempas pulas selama sebulan berperang dan mengekang turutan hawa nafsu yang disifatkan nabi Muhammad s.a.w dalam sabdanya sebagai jihad akbar yaitu jihad yang lebih besar daripada berjihad dimedan peperangan melawan musuh Islam. Dihari itu umat Islam menzahirkan kegembiraan diatas kemenangan itu dengan bertahlil, bertahmid dan bertakbir. Juga dengan amalan-amalan dan upacara-upacara yang dibataskan oleh syariat Islam seperti bermaaf-maafan,ziarah-menziarahi dan sebagainya.Semuanya itu ialah untuk meraikan hari kemenangan ini.
Insyaallah, ana akan cuba menaqalkan sedikit fawaid daripada kitab Tuhfatul-Ikhwan karangan Syeikh Syihabuddin Al-Fasyini sekadar kemampuan ana tentang makna aidilfitri dan juga perkara-perkara yang perlu dilakukan dihari raya berdasarkan hadis dan sunnah nabi Muhammad s.a.w.
Makna Aidilfitri
Perkataan Aidilfitri tergabung daripada dua kalimah:
(1) Aid bermakna kembali atau berulang-ulang.
(2) Fitri bermakna fitrah atau tabia’t kejadian.
Hendaklah diketahui bahawasanya aid (hari raya) dinamakan demikian kerana:
(1) Berulang-ulangnya hari raya pada setiap tahun.
(2) Banyaknya yang kembali kepada Allah dengan ketaatan dan ibadat kepadaNya.
(3) Kembalinya kegembiraan dengan sebab datangnya hari raya.
(4) Pengembalian ihsan daripada Allah Taa’la dan faedah-faedah nikmat yang diberikan oleh Allah Taa’la kepada hambaNya.(Sebab itu diharamkan berpuasa pada hari ini)
(5) Kembalinya orang-orang mukmin daripada taat pada Allah (kefardhuan) yaitulah puasa dibulan Ramadhan kepada taat pada rasulNya (sunnah) yaitulah puasa enam dibulan Syawal.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Pada Hari Raya
Permulaan hari raya yang Rasulullah s.a.w bersolat sunat aidilfitri ialah pada tahun yang kedua daripada hijrah. Dan nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan solat aidilfitri setelah itu. Maka jadilah solat aidilfitri itu satu sunnah dari nabi s.aw. Adapun cara dan sifat solat aidilfitri itu adalah makruf dan maklum dikitab-kitab feqah.
Dan daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi s.a.w, bersabda nabi: “Perhiaskanlah dihari raya kamu itu dengan bertakbir”.
Dan pada riwayat Anas r.a : “Perhiaskan dua hari raya itu dengan bertahlil, bertaqdis, bertahmid dan bertakbir”.
` Telah berkata Sayyidatina Aisyah r.a: Nabi s.a.w pernah bersabda: “Apabila kamu melihat satu kebakaran maka hendaklah kamu bertakbir kerana ia memadamkan api itu”.
Berkatalah Imam Nawawi didalam kitabnya Ar-Raudhah: Bertakbir pada malam aidilfitri itu terlebih afdhal daripada bertakbir di aidiladha. Dan solat sunat dua hari raya itu (aidilfitri dan aidiladha) seafdhal-afdhal solat sunat.
Dan daripada nabi s.a.w: “Barangsiapa yang menyebut (سبحان الله وبحمده) pada hari raya sebanyak tiga ratus kali dan menghadiahkan pahalanya untuk orang-orang Islam yang telah meninggal dunia, nescaya dimasukkan pada tiap-tiap kubur mereka itu seribu cahaya dan Allah Taa’ala menjadikan untuknya pula didalam kuburnya seribu cahaya apabila ia meninggal dunia”.
Berkata Az-Zuhri: Telah berkatalah Anas r.a: Bersabdalah nabi s.a.w: “Barangsiapa yang menyebut pada tiap-tiap dua hari raya (aidilfitri dan aidiladha):
(لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو على كل شئ قدير)
sebanyak empat ratus kali sebelum solat sunat hari raya, nescaya Allah akan menikahkannya dengan empat ratus bidadari, dan seolah-olahnya ia memerdekakan empat ratus hamba sahaya, dan Allah Taa’la mewakilkan dengannya para-para malaikat yang membina untuknya bandar-bandar disyurga dan menyiram untuknya pohon-pohon kayu disyurga hinggalah ke hari qiyamat”. Berkata AZ-Zuhri: Tidaklah ku meninggalkan zikir ini semenjak ku mendengarnya dari Anas r.a. Dan berkata Anas r.a pula: Tidaklah ku meninggalkan zikir ini semenjak ku mendengarnya dari nabi s.a.w.
Berkatalah Wahab Ibnu Munabbih r.a: Bahawasanya iblis menjerit kesedihan pada tiap-tiap kali tibanya hari raya. Maka datang berhimpunlah kepadanya oleh segala bala tenteranya daripada golongan syaitan. Berkata mereka itu: “Wahai penghulu kami! Apakah yang menyebabkan kamu murka? Daripada langitkah? Atau daripada bumi? Atau daripada bukit bukau? Hinggalah kami dapat menghapus dan menghancurkannya!” Maka berkatalah iblis laknatullah: “Bahawa sesungguhnya Allah Taa’la telah mengampun untuk umat Muhammad s.aw pada hari ini. Maka hendaklah kamu semua memasyghulkan mereka itu dengan kelazatan duniawi dan minuman arak sehinggalah Allah Taa’la memurkai keatas mereka itu”.
Dan lagi berkata Wahab r.a: “Allah Taa’la menjadikan syurga pada hari aidilfitri, dan menyiram pohon Thuba pada hari aidilfitri, dan memilih Jibril untuk urusan wahyu pada hari aidilfitri, dan menerima taubat ahli-ahli sihir Firaun (yang tunduk kepada nabi Musa a.s) pada hari aidilfitri”.
Dan bersabdalah nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mendirikan malam dua hari raya (dengan beribadat) kerana mahukan ganjaran pahala disisi Allah, nescaya tidak matilah hatinya dikala matinya hati-hati manusia”.
Khatimah
Disunatkan pada hari raya itu:
(1) Mandi sunat hari raya (bagi semua orang).
(2) Berhias-hias dan memperkemaskan pakaian.
(3) Memakai bauan wangian (lelaki sahaja).
(4) Pergi dan pulang dari tempat solat hari raya dengan jalan yang berlainan.
(5) Makan pada hari raya aidilfitri sebelum solat sunat.
(6) Imsak (tidak makan) pada hari raya aidiladha sehinggalah selesai daripada solat sunat hari raya.
Semua yang tersebut diatas adalah sunnah ikutan daripada Rasulullah s.a.w.
{Rujukan daripada kitab Tuhfatul-Ikhwan karangan Syeikh Syihabuddin Ahmad Bin Hijazi Al-Fasyini}
VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM
Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul
MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM
· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.
· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.
OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM
· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.
· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.
· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.
· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.