Pengumuman Penting

 SILA LIHAT RAYUAN SUMBANGAN DI BAHAGIAN KANAN BLOG INI > > > > > > > > > > > > V V V V V V

14 Oktober, 2008

KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih



KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN

Siri Pengajian Kitab Turos
(Ibnu Rubat)



Muqaddimah

Firman Allah Taa’la: “Sungguh mendapat kemenanganlah orang yang menyucikan dirinya (dengan berzakat fitrah). Dan ia menyebut nama tuhannya (dengan bertakbir,bertahlil dan bertahmid dihari raya) maka ia bersolat (sunat hari raya)”. [Surah Al-A’la: ayat 14-15]
Hari raya aidilfitri ialah simbolik hari kemenangan bagi umat Islam selepas berhempas pulas selama sebulan berperang dan mengekang turutan hawa nafsu yang disifatkan nabi Muhammad s.a.w dalam sabdanya sebagai jihad akbar yaitu jihad yang lebih besar daripada berjihad dimedan peperangan melawan musuh Islam. Dihari itu umat Islam menzahirkan kegembiraan diatas kemenangan itu dengan bertahlil, bertahmid dan bertakbir. Juga dengan amalan-amalan dan upacara-upacara yang dibataskan oleh syariat Islam seperti bermaaf-maafan,ziarah-menziarahi dan sebagainya.Semuanya itu ialah untuk meraikan hari kemenangan ini.
Insyaallah, ana akan cuba menaqalkan sedikit fawaid daripada kitab Tuhfatul-Ikhwan karangan Syeikh Syihabuddin Al-Fasyini sekadar kemampuan ana tentang makna aidilfitri dan juga perkara-perkara yang perlu dilakukan dihari raya berdasarkan hadis dan sunnah nabi Muhammad s.a.w.



Makna Aidilfitri

Perkataan Aidilfitri tergabung daripada dua kalimah:
(1) Aid bermakna kembali atau berulang-ulang.
(2) Fitri bermakna fitrah atau tabia’t kejadian.
Hendaklah diketahui bahawasanya aid (hari raya) dinamakan demikian kerana:
(1) Berulang-ulangnya hari raya pada setiap tahun.
(2) Banyaknya yang kembali kepada Allah dengan ketaatan dan ibadat kepadaNya.
(3) Kembalinya kegembiraan dengan sebab datangnya hari raya.
(4) Pengembalian ihsan daripada Allah Taa’la dan faedah-faedah nikmat yang diberikan oleh Allah Taa’la kepada hambaNya.(Sebab itu diharamkan berpuasa pada hari ini)
(5) Kembalinya orang-orang mukmin daripada taat pada Allah (kefardhuan) yaitulah puasa dibulan Ramadhan kepada taat pada rasulNya (sunnah) yaitulah puasa enam dibulan Syawal.




Perkara Yang Perlu Dilakukan Pada Hari Raya

Permulaan hari raya yang Rasulullah s.a.w bersolat sunat aidilfitri ialah pada tahun yang kedua daripada hijrah. Dan nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan solat aidilfitri setelah itu. Maka jadilah solat aidilfitri itu satu sunnah dari nabi s.aw. Adapun cara dan sifat solat aidilfitri itu adalah makruf dan maklum dikitab-kitab feqah.
Dan daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi s.a.w, bersabda nabi: “Perhiaskanlah dihari raya kamu itu dengan bertakbir”.
Dan pada riwayat Anas r.a : “Perhiaskan dua hari raya itu dengan bertahlil, bertaqdis, bertahmid dan bertakbir”.
` Telah berkata Sayyidatina Aisyah r.a: Nabi s.a.w pernah bersabda: “Apabila kamu melihat satu kebakaran maka hendaklah kamu bertakbir kerana ia memadamkan api itu”.
Berkatalah Imam Nawawi didalam kitabnya Ar-Raudhah: Bertakbir pada malam aidilfitri itu terlebih afdhal daripada bertakbir di aidiladha. Dan solat sunat dua hari raya itu (aidilfitri dan aidiladha) seafdhal-afdhal solat sunat.
Dan daripada nabi s.a.w: “Barangsiapa yang menyebut (سبحان الله وبحمده) pada hari raya sebanyak tiga ratus kali dan menghadiahkan pahalanya untuk orang-orang Islam yang telah meninggal dunia, nescaya dimasukkan pada tiap-tiap kubur mereka itu seribu cahaya dan Allah Taa’ala menjadikan untuknya pula didalam kuburnya seribu cahaya apabila ia meninggal dunia”.
Berkata Az-Zuhri: Telah berkatalah Anas r.a: Bersabdalah nabi s.a.w: “Barangsiapa yang menyebut pada tiap-tiap dua hari raya (aidilfitri dan aidiladha):
(لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو على كل شئ قدير)
sebanyak empat ratus kali sebelum solat sunat hari raya, nescaya Allah akan menikahkannya dengan empat ratus bidadari, dan seolah-olahnya ia memerdekakan empat ratus hamba sahaya, dan Allah Taa’la mewakilkan dengannya para-para malaikat yang membina untuknya bandar-bandar disyurga dan menyiram untuknya pohon-pohon kayu disyurga hinggalah ke hari qiyamat”. Berkata AZ-Zuhri: Tidaklah ku meninggalkan zikir ini semenjak ku mendengarnya dari Anas r.a. Dan berkata Anas r.a pula: Tidaklah ku meninggalkan zikir ini semenjak ku mendengarnya dari nabi s.a.w.
Berkatalah Wahab Ibnu Munabbih r.a: Bahawasanya iblis menjerit kesedihan pada tiap-tiap kali tibanya hari raya. Maka datang berhimpunlah kepadanya oleh segala bala tenteranya daripada golongan syaitan. Berkata mereka itu: “Wahai penghulu kami! Apakah yang menyebabkan kamu murka? Daripada langitkah? Atau daripada bumi? Atau daripada bukit bukau? Hinggalah kami dapat menghapus dan menghancurkannya!” Maka berkatalah iblis laknatullah: “Bahawa sesungguhnya Allah Taa’la telah mengampun untuk umat Muhammad s.aw pada hari ini. Maka hendaklah kamu semua memasyghulkan mereka itu dengan kelazatan duniawi dan minuman arak sehinggalah Allah Taa’la memurkai keatas mereka itu”.




Dan lagi berkata Wahab r.a: “Allah Taa’la menjadikan syurga pada hari aidilfitri, dan menyiram pohon Thuba pada hari aidilfitri, dan memilih Jibril untuk urusan wahyu pada hari aidilfitri, dan menerima taubat ahli-ahli sihir Firaun (yang tunduk kepada nabi Musa a.s) pada hari aidilfitri”.
Dan bersabdalah nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mendirikan malam dua hari raya (dengan beribadat) kerana mahukan ganjaran pahala disisi Allah, nescaya tidak matilah hatinya dikala matinya hati-hati manusia”.




Khatimah

Disunatkan pada hari raya itu:
(1) Mandi sunat hari raya (bagi semua orang).
(2) Berhias-hias dan memperkemaskan pakaian.
(3) Memakai bauan wangian (lelaki sahaja).
(4) Pergi dan pulang dari tempat solat hari raya dengan jalan yang berlainan.
(5) Makan pada hari raya aidilfitri sebelum solat sunat.
(6) Imsak (tidak makan) pada hari raya aidiladha sehinggalah selesai daripada solat sunat hari raya.

Semua yang tersebut diatas adalah sunnah ikutan daripada Rasulullah s.a.w.


{Rujukan daripada kitab Tuhfatul-Ikhwan karangan Syeikh Syihabuddin Ahmad Bin Hijazi Al-Fasyini}

02 Oktober, 2008

Kelebihan Hari Raya



Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.
Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur." Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.
Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan. Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud: "Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."
Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur." Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.
Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis. Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.
Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti pagi raya
1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.
2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.
3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.
4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.
5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.
6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.
Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.) - mks.

Carta Struktur Organisasi

Carta Struktur Organisasi
Pusat Pengajian Islam Mohd Nor Al-Bakri

VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul

MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.

· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.

OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.

· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.

· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.

· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

القرآن