Pengumuman Penting
SILA LIHAT RAYUAN SUMBANGAN DI BAHAGIAN KANAN BLOG INI > > > > > > > > > > > > V V V V V V
14 Oktober, 2008
KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN
Siri Pengajian Kitab Turos
(Ibnu Rubat)
Muqaddimah
Firman Allah Taa’la: “Sungguh mendapat kemenanganlah orang yang menyucikan dirinya (dengan berzakat fitrah). Dan ia menyebut nama tuhannya (dengan bertakbir,bertahlil dan bertahmid dihari raya) maka ia bersolat (sunat hari raya)”. [Surah Al-A’la: ayat 14-15]
Hari raya aidilfitri ialah simbolik hari kemenangan bagi umat Islam selepas berhempas pulas selama sebulan berperang dan mengekang turutan hawa nafsu yang disifatkan nabi Muhammad s.a.w dalam sabdanya sebagai jihad akbar yaitu jihad yang lebih besar daripada berjihad dimedan peperangan melawan musuh Islam. Dihari itu umat Islam menzahirkan kegembiraan diatas kemenangan itu dengan bertahlil, bertahmid dan bertakbir. Juga dengan amalan-amalan dan upacara-upacara yang dibataskan oleh syariat Islam seperti bermaaf-maafan,ziarah-menziarahi dan sebagainya.Semuanya itu ialah untuk meraikan hari kemenangan ini.
Insyaallah, ana akan cuba menaqalkan sedikit fawaid daripada kitab Tuhfatul-Ikhwan karangan Syeikh Syihabuddin Al-Fasyini sekadar kemampuan ana tentang makna aidilfitri dan juga perkara-perkara yang perlu dilakukan dihari raya berdasarkan hadis dan sunnah nabi Muhammad s.a.w.
Makna Aidilfitri
Perkataan Aidilfitri tergabung daripada dua kalimah:
(1) Aid bermakna kembali atau berulang-ulang.
(2) Fitri bermakna fitrah atau tabia’t kejadian.
Hendaklah diketahui bahawasanya aid (hari raya) dinamakan demikian kerana:
(1) Berulang-ulangnya hari raya pada setiap tahun.
(2) Banyaknya yang kembali kepada Allah dengan ketaatan dan ibadat kepadaNya.
(3) Kembalinya kegembiraan dengan sebab datangnya hari raya.
(4) Pengembalian ihsan daripada Allah Taa’la dan faedah-faedah nikmat yang diberikan oleh Allah Taa’la kepada hambaNya.(Sebab itu diharamkan berpuasa pada hari ini)
(5) Kembalinya orang-orang mukmin daripada taat pada Allah (kefardhuan) yaitulah puasa dibulan Ramadhan kepada taat pada rasulNya (sunnah) yaitulah puasa enam dibulan Syawal.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Pada Hari Raya
Permulaan hari raya yang Rasulullah s.a.w bersolat sunat aidilfitri ialah pada tahun yang kedua daripada hijrah. Dan nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan solat aidilfitri setelah itu. Maka jadilah solat aidilfitri itu satu sunnah dari nabi s.aw. Adapun cara dan sifat solat aidilfitri itu adalah makruf dan maklum dikitab-kitab feqah.
Dan daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi s.a.w, bersabda nabi: “Perhiaskanlah dihari raya kamu itu dengan bertakbir”.
Dan pada riwayat Anas r.a : “Perhiaskan dua hari raya itu dengan bertahlil, bertaqdis, bertahmid dan bertakbir”.
` Telah berkata Sayyidatina Aisyah r.a: Nabi s.a.w pernah bersabda: “Apabila kamu melihat satu kebakaran maka hendaklah kamu bertakbir kerana ia memadamkan api itu”.
Berkatalah Imam Nawawi didalam kitabnya Ar-Raudhah: Bertakbir pada malam aidilfitri itu terlebih afdhal daripada bertakbir di aidiladha. Dan solat sunat dua hari raya itu (aidilfitri dan aidiladha) seafdhal-afdhal solat sunat.
Dan daripada nabi s.a.w: “Barangsiapa yang menyebut (سبحان الله وبحمده) pada hari raya sebanyak tiga ratus kali dan menghadiahkan pahalanya untuk orang-orang Islam yang telah meninggal dunia, nescaya dimasukkan pada tiap-tiap kubur mereka itu seribu cahaya dan Allah Taa’ala menjadikan untuknya pula didalam kuburnya seribu cahaya apabila ia meninggal dunia”.
Berkata Az-Zuhri: Telah berkatalah Anas r.a: Bersabdalah nabi s.a.w: “Barangsiapa yang menyebut pada tiap-tiap dua hari raya (aidilfitri dan aidiladha):
(لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو على كل شئ قدير)
sebanyak empat ratus kali sebelum solat sunat hari raya, nescaya Allah akan menikahkannya dengan empat ratus bidadari, dan seolah-olahnya ia memerdekakan empat ratus hamba sahaya, dan Allah Taa’la mewakilkan dengannya para-para malaikat yang membina untuknya bandar-bandar disyurga dan menyiram untuknya pohon-pohon kayu disyurga hinggalah ke hari qiyamat”. Berkata AZ-Zuhri: Tidaklah ku meninggalkan zikir ini semenjak ku mendengarnya dari Anas r.a. Dan berkata Anas r.a pula: Tidaklah ku meninggalkan zikir ini semenjak ku mendengarnya dari nabi s.a.w.
Berkatalah Wahab Ibnu Munabbih r.a: Bahawasanya iblis menjerit kesedihan pada tiap-tiap kali tibanya hari raya. Maka datang berhimpunlah kepadanya oleh segala bala tenteranya daripada golongan syaitan. Berkata mereka itu: “Wahai penghulu kami! Apakah yang menyebabkan kamu murka? Daripada langitkah? Atau daripada bumi? Atau daripada bukit bukau? Hinggalah kami dapat menghapus dan menghancurkannya!” Maka berkatalah iblis laknatullah: “Bahawa sesungguhnya Allah Taa’la telah mengampun untuk umat Muhammad s.aw pada hari ini. Maka hendaklah kamu semua memasyghulkan mereka itu dengan kelazatan duniawi dan minuman arak sehinggalah Allah Taa’la memurkai keatas mereka itu”.
Dan lagi berkata Wahab r.a: “Allah Taa’la menjadikan syurga pada hari aidilfitri, dan menyiram pohon Thuba pada hari aidilfitri, dan memilih Jibril untuk urusan wahyu pada hari aidilfitri, dan menerima taubat ahli-ahli sihir Firaun (yang tunduk kepada nabi Musa a.s) pada hari aidilfitri”.
Dan bersabdalah nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mendirikan malam dua hari raya (dengan beribadat) kerana mahukan ganjaran pahala disisi Allah, nescaya tidak matilah hatinya dikala matinya hati-hati manusia”.
Khatimah
Disunatkan pada hari raya itu:
(1) Mandi sunat hari raya (bagi semua orang).
(2) Berhias-hias dan memperkemaskan pakaian.
(3) Memakai bauan wangian (lelaki sahaja).
(4) Pergi dan pulang dari tempat solat hari raya dengan jalan yang berlainan.
(5) Makan pada hari raya aidilfitri sebelum solat sunat.
(6) Imsak (tidak makan) pada hari raya aidiladha sehinggalah selesai daripada solat sunat hari raya.
Semua yang tersebut diatas adalah sunnah ikutan daripada Rasulullah s.a.w.
{Rujukan daripada kitab Tuhfatul-Ikhwan karangan Syeikh Syihabuddin Ahmad Bin Hijazi Al-Fasyini}
02 Oktober, 2008
Kelebihan Hari Raya
Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.
Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur." Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.
Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan. Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud: "Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."
Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur." Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.
Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis. Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.
Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti pagi raya
1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.
2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.
3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.
4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.
5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.
6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.
Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.) - mks.
19 September, 2008
Kelebihan Bulan Ramadhan
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
KELEBIHAN BULAN RAMADHAN
Siri Pengajian Kitab Turos
(Ibnu Rubat)
Muqaddimah
Fiman Allah Taala: (Bulan Ramadhan itu diturunkan padanya Al-Quran yang menjadi petunjuk untuk manusia dan keterangan daripada petunjuk dan perbandingan diantara hak dan batil). Dengan ayat Al-Quran ini dapatlah kita ketahui tentang salah satu daripada kelebihan bulan ramadhan diatas bulan-bulan yang lain yaitulah diturunkan Al-Quran yang menjadi sumber asas rujukan utama bagi orang-orang yang beriman. Juga pada bulan ini terdapat satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan, yaitulah malam lailatul qadar. Disini ana naqalkan sedikit tentang kelebihan bulan ramadhan daripada kitab “Tuhfatul-Ikhwan” karangan Syeikh Syihabuddin Ahmad Bin Hijazi Al-Fasyini.
Nama Bulan Ramadhan
Telah berkhilaf ulama’ tentang penamaan bulan ramadhan. Setengah mereka mengatakan bahawasanya ramadhan itu salah satu nama daripada nama-nama Allah taala. Berkata Imam Al-Baghowi: Dan yang sohihnya (yang betulnya), ramadhan itu ialah nama yang diberikan untuk bulan yang tertentu yang diambil daripada perkataan “romdho” yang bermakna batu yang panas. Kerana pada bulan itu orang-orang arab berpuasa dalam keadaan panas terik. Kebiasaan orang-orang arab apabila mahu meletakkan satu nama untuk salah satu daripada bulan-bulannya, hendaklah ia muafakat dengan peristiwa atau suasana yang jatuh pada bulan itu. Umpama bulan muharram dinamakan demikian kerana diharamkan peperangan padanya demikian lagi bulan zulhijjah dinamakan seperti itu kerana berlaku ibadat haji padanya sejak zaman nabi Ibrahim lagi. Begitulah ramadhan dinamakan demikian kerana ianya jatuh pada musim kepanasan. Dan dikatakan juga, dinamakan ramadhan kerana ia bulan membakar segala dosa-dosa, yakni menghapuskannya.
Hukum Puasa Di Bulan Ramadhan
Difardhukan puasa ramadhan pada tahun ketiga hijrah. Dan hukum puasa itu maklum didalam agama dengan mudah kerana ia adalah rukun islam yang ketiga. Barangsiapa yang mengikari akan kewajibannya, jatuhlah ia kelembah kekufuran kecuali jika ia jahil dan jauh daripada pengetahuan islam dan ulamak.Dan barangsiapa meninggalkan puasa tanpa keuzuran dengan tidak mengikari kewajibannya seperti ia berkata: “puasa itu wajib keatasku tetapi aku tidak mahu berpuasa” maka wajib pula baginya menahan makan dan minum pada siang harinya walaupun ia tidak berpuasa. Tetapi ia tetap berdosa kerana tidak mahu berpuasa itu.
Kelebihan Bulan Ramadhan
Bulan ramadhan itu ialah bulan yang paling afdhal diatas bulan-bulan yang lain. Tersebut didalam hadis, sabda nabi s.a.w: “Ramadhan itu ialah penghulu segala bulan”. Dan tidak dimakruhkan dikatakan ramadhan tanpa disandarkan perkataan bulan sebagaimana potongan hadis nabi s.a.w : (من صام رمضان) artinya: “Barangsiapa yang berpuasa diramadhan” tanpa nabi s.a.w menyebut kalimah (شهر) yakni bulan. Dan apa yang dikatakan makruh itu ialah qaul yang doi’f.
Dan juga Allah taa’la menurunkan Al-Quran pada bulan ramadhan. Tersebutlah tentang kelebihan bulan ramadhan didalam hadis yang banyak.Dalam satu hadis, nabi s.a.w bersabda (yang mafhumnya berbunyi): Apabila tiba awal malam ramadhan, dibukakan semua pintu syurga maka tidak ditutup walau satu pintu pun di bulan ramadhan sehinggalah berakhirnya ramadhan. Dan juga ditutupkan semua pintu neraka maka tidak dibuka walaupun satu pintu di bulan ramadhan sehinggalah berakhirnya ramadhan. Menyerulah Allah taa’la dengan firmannya: “ Wahai orang yang menuntut kebajikan marilah berhadap kepadaku (dengan berbuat ibadat). Wahai orang yang membuat kejahatan tinggalkan kejahatan itu”. Kemudian Allah taa’la berfirman lagi: “Adakah sesiapa yang meminta ampun, maka diampunkan baginya. Adakah sesiapa yang meminta sesuatu dariku, maka akan ditunaikan permintaannya. Adakah sesiapa yang bertaubat kepadaku, maka akan diterima taubatnya”. Sentiasalah Allah taa’la menyeru demikian itu sehinggalah terbit fajar. Dan Allah taa’la melepaskan sejuta kelepasan daripada api neraka pada tiap-tiap malam ramadhan ketika waktu berbuka puasa padahal mereka itu telah diwajibkan dengan azab neraka.
Dan lagi sabda nabi s.a.w didalam hadis yang lain: Bahawasanya syurga itu diperhiaskan dari tahun ketahun kerana tibanya bulan ramadhan. Maka apabila tibanya malam pertama daripada bulan ramadhan, berhembuslah angin lembut yang dinamakan “al-masiroh” dari bawah arasy. Maka bergoyanglah daun-daun pohon kayu syurga seraya mengeluarkan alunan suara merdu yang tidak pernah didengar manusia alunan suara yang terlebih merdu dari itu. Lalu keluarlah para bidadari sehingga berdiri mereka itu dijendela-jendela syurga seraya bertanya: Apakah yang sedang berlaku? Kemudian mereka bertanya kepada penjaga syurga: Wahai malaikat Ridhwan! Malam apakah malam ini? Lalu malaikat Ridhwan menjawab dengan lafaz talbiah dan berkata: Wahai yang sebaik-baik paras rupa! Inilah malam pertama daripada bulan ramadhan.
(Rujukan kitab Tuhfatul-Ikhwan oleh Syeikh Syihabuddin Ahmad Hijazi Al-Fasyini)
14 September, 2008
Adab Bersahabat
ADAB DENGAN SAHABAT
[SIRI PENGAJIAN KITAB TUROS]
Oleh: Ibnu Rubat (BKK)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
MUQODDIMAH
Kita tidak dapat lari dari bersahabat dengan sesiapa pun dalam kehidupan bermasyarakat ini.Tapi tahukah kita, seringkali kita mengabaikan adab-adab bersahabat sehingga kadang-kadang kita menyakiti hati sahabat kita secara sedar atau tidak. Disini Imam Al-Ghazali menggariskan panduan adab-adab dengan sahabat dan bagaimana kita memilih sahabat kita yang paling ideal sekali.
ADAB BERSAHABAT
Adab orang yang bersahabat itu ada banyak perkaranya, tetapi disebutkan oleh Imam Al-Ghazali didalam kitabnya "Bidayatul-Hidayah" hanyalah dua puluh tiga perkara sahaja yaitu:
(1) Melebihkan sahabatnya atas dirinya dari segi material.Jangan terlalu bakhil.
(2) Membantu sahabatnya dari segi keperluannnya dengan bersegera tanpa ia meminta tolong.
(3) Menyembunyikan segala rahsia-rahsia sahabatnya.
(4) Menutup segala kea'ibannya.
(5) Apabila ia mendengar seseorang mencela sahabatnya, dia tidak menyampaikan perkataan itu kepada sahabatnya.
(6) Apabila seseorang menceritakan keburukan sahabatnya, janganlah ia mendengarnya.
(7) Apabila mendengar seseorang memuji sahabatnya atau sesuatu yang menyukakannya, hendaklaklah ia menyampaikan khabar itu kepadanya.
(8) Apabila sahabatnya berucap, hendaklah ia bersungguh-sungguh mendengar ucapannya.
(9) Meninggalkan berbantah-bantah dengan sahabatnya.
(10) Memanggil sahabatnya dengan nama yang ia sukai, bukan gelaran yang buruk.
(11) Apabila melihat sahabatnya berbuat kebajikan, hendaklah ia bersyukur atas perbuatannya.
(12) Menegahkan seseorang daripada mencela sahabatnya sepertimana ia menegahkan seseorang mencela dirinya.
(13) Memberi nasihat kepada sahabatnya dengan perkataan yang lemah lembut,bukan dengan sindiran yang pedas dan tajam menikam hati.
(14) Memaafkan segala kesilapan sahabatnya, bukan memerli atau menempelaknya. (15) Mendoa'kan sahabatnya didalam solatnya semasa hidupnya dan selepas matinya.
(16) Membuat kebaikan dengan ahli keluarga sahabatnya kemudian dari matinya.
(17) Jangan membebani sahabatnya dengan permasalahannya supaya senang hatinya.
(18) Menzahirkan kegembiraan dengan sebab nikmat yang didapati oleh sahabatnya.
(19) Menzahirkan kedukaan dengan sebab kesusahan yang menimpa sahabatnya.
(20) Hendaklah ia memulai salam ketika bertemu dengan sahabatnya.
(21) Apabila datang sahabatnya ke suatu majlis, hendaklah ia membuka ruang duduk untuk sahabatnya dan jika tiada ruang untuknya, hendaklah ia berpindah ketempat lain bagi memberi ruang untuk sahabatnya.
(22) Apabila sahabatnya mahu pulang ketempatnya, hendaklaklah menurutinya hingga kemuka pintu rumah atau pagar untuk memuliakannya.
(23) Apabila berkata-kata sahabatnya, hendaklah ia diam seraya mendengar segala perkataannya sehinggalah selesai.Kemudian barulah ia memulakan pula perkataannya.Dan jangan sekali-kali ia mencelah perkataan sahabatnya.
PILIH SAHABAT
Apabila kita mahu memilih sahabat untuk menemani kita dalam menuntut ilmu atau untuk pekerjaan agama dan dunia atau teman bermusafir, hendaklah kita memelihara dan memilih ciri-ciri seperti berikut:
(1) Orang yang sempurna akalnya.Maka tiada faedahnya kita bersahabat dengan orang yang kurang akalnya kerana pada akhirnya membawa kepada perkelahian dan menyakiti hati.Musuh yang berakal terlebih baik dari taulan yang bodoh.
(2) Orang yang baik akhlak kelakuan dan budi perangainya.Maka janganlah bersahabat dengan orang yang buruk akhlak perangainya iaitulah orang yang tidak dapat mengawal marah dan nafsu mazmumahnya.
(3) Orang yang soleh. Maka jauhkan bersahabat dengan orang fasiq yang sentiasa melakukan dosa kerana kita takkan terlepas dari kejahatannya.
(4) Orang yang tidak cintakan dunia. Kerana bersahabat dengan orang yang sangat cintakan dunia (materialistik) itu seperti racun yang membunuh diri kita.
(5) Orang yang siddiq (benar) pada segala perkataan dan perbuatannya.Bukan cakap tak serupa cakap kerana berdusta itu antara ciri-ciri orang munafiq.
KATEGORI SAHABAT
Ketahuilah bahawasanya sahabat itu tiga kategori:
(1) Umpama makanan yang tak dapat tidak kita memerlukannya setiap waktu.
(2) Umpama ubat yang diperlukan ketika sakit dan tidak diperlukan ketika sihat.
(3) Umpama penyakit yang kita tidak memerlukannya sekali-kali bahkan
kita perlu menjauhinya
{Rujukan kitab Hidayatus-Salikin karangan Syeikh Abdu Somad Al-Palembangi}
08 September, 2008
Matan A'qidatul A'wam
Terkenang semasa belajar dipondok dulu selalu menghafal matan-matan yang diwajibkan oleh pihak madrasah. Kalau matan al-jurumiah (nahu) dan matan bina' (soraf) tu memang cairlah katakan. Tapi ana lebih suka matan-matan yang jenis bersyair macam matan alfiyah (nahu) dan matan zubad (feqah) sebab lebih terlali dengan rentak dan liriknya. Antara matan syair yang paling diminati ialah matan aqidatul a'wam (tauhid) yang cukup lengkap dari segi ilmu tauhid yang fardhu ain kita kena tahu dalam ahli sunnah wal-jamaah..
متن عقيدة العوام
للسيد احمد المرزوقي المالكي المكي
أبــدأ بسم الله والـرحـمنِ * وبـالـرحـيـم دائـم الإحـسان
فالـحـمـد لله الـقديم الأول * والأخـر الـبـاقـي بلا تـحـول
ثـم الـصلاة والسلام سرمدا * عـلـى الـنبي خير من قد وحدا
وآله وصـحبه ومـــن تبع * سـبـيـل دين الحق غير مبتدع
فـالله مـوجـود قـديـم باقي * مخـالـف للـخـلق بالإطلاقِ
وقـائم غـنـي وواحـد وحي * قـادر مـريـد عـالم بكل شيْ
سـمـيـع البـصـير والمتكلـم * لـه صـفـات سـبـعـة تنتظم
فـقـدرة إرادة سـمـع بـصر * حـيـاة الـعـلـم كـلام استمر
وجـائـز بـفـضـله وعدله * تـرك لـكـل مـمـكـن كفعله
الواجب في حق الرسل و المستحيل و الجائز
أرسـل أنبيا ذوي فـطـانـه * بالـصـدق والـتـبليغ والأمانة
وجـائـز في حقهم من عرض * بغـيـر نـقـص كخفيف المرض
عـصـمـتهم كسائر الملائكة * واجـبـة وفـاضلوا الـمـلائكة
هم أدم إدريس نوح هود مع * صـالـح وإبـراهـيـم كل متبع
لوط وإسـماعيل إسحاق كذا * يـعـقوب يوسف وأيوب احتذى
شعيب هارون وموسى واليسع * ذو الـكـفـل داود سليمان اتبع
إلـيـاس يونس زكريا يحيى * عـيـسـى وطـه خاتم دعه غيا
عـلـيـهـم الصلاة والسلام * وآلـهـم مـادامـــت الأيــام
الملائكة
والـمـلك الـذي بـلا أب وأم * لا أكـل لا شـرب ولا نوم لهم
تـفـضـيل عشر منهم جبريل * مـيـكـال إسـرافيل عزرائيل
مـنـكر نـكـير ورقيب وكذا * عـتـيـد مالك ورضوان احتذى
الصحف والكتب المنزلة
أربـعـة مـن الكتب تفصيلها * تـوارة مـوسـى بالهدى تنزيلها
زبـور داود وإنـجـيـل على * عـيـسى وفرقان على خير الملا
وصـحـف الـخـليل والكليم * فـيـهـا كـلام الـحـكم العليم
وكـل مـا أتى بـه الـرسول * فـحـقـه الـتـسـلـيم والقبول
إيـمـانـنا بـيـوم أخر وجب * وكـل مـا كـان بـه من العجب
محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم واله
نـبـيـنـا مـحمد قـد أرسلا * للـعـالـمـيـن رحـمة وفضلا
أبـوه عـبـد الله عـبد المطلـب * وهـاشـم عبـد مـناف ينتسب
وأمـه آمـنـة الـزهـريــة * مرضـعته حـليـمـة السعدية
مـولـده بـمـكـة الأميـنـة * وفـاتـه بـطـيـبة الـمـدينة
أتـم قـبـل الـوحي أربـعينا * وعـمـره قـد جـاوز الـستينا
أبناء الرسول صلى الله عليه وسلم واله
وسـبـعة أولاده فـمـنـهـم * ثـلاثـة مـن الـذكـور تـفهم
قـاسـم وعـبد الله وهو الطيب * وطـاهـر بـذيـن ذا يـلـقب
أتـاه إبـراهـيـم من سـريه * فأمه مـاريـة الـقـبـطـيـه
وغـيـر إبـراهيم من خديجة * هـم سـتـة فـخـذ بـهم وليجه
وأربع مـن الإنـاث تـذكـر * رضـوان ربـي للـجـمـيع يذكر
فـاطـمـة الزهراء بعلها علي * وابـنـاهما السبطان فضلهم جلي
فـزيـنـب وبـعـدهـا رقـيـة * وأم كـلـثـوم زكـت رضيه
أزواج رسول الله صلى الله عليه وسلم واله
عـن تـسـع نسوة وفاة المصطفى * خـيـرن فاخترن النبي المقتفى
عـائـشـة وحـفـصة وسـوده * صـفـيـة مـيـمـونة ورمله
هـنـد وزيـنـب كـذا جويرية * لـلـمـومنين أمـهات مرضية
سلف رسول الله صلى الله عليه وسلم واله
حـمـزة عـمـه وعـبـاس كذا * عـمـتـه صـفية ذات احتذا
الإسراء والمعراج
وقـبـل هـجـرة الـنبي الإسرا * مـن مـكـة ليلا لقدس يدرى
وبـعـد إسـراء عـروج للـسما * حـتى رأى الـنـبـيُ ربا كلما
من غير كيف وانحصار وافترض * عـلـيه خمسا بعد خمسين فرض
وبــلـغ الأمــة بـالإسـراء * وفـرض خـمـسة بلا امتراء
قـد فـاز صـديقٌ بتـصديق له * بـالـعروج الصدق وافى أهله
خاتمة
وهــذه عـقـيـدة مـخـتصره * ولـلـعـوام سـهـلة ميسره
نـاظـم تـلـك أحـمد المرزوقي * مـن ينتمي للصادق المصدوق
و الـحـمـد لله وصـلـى سـلما * علـى النبي خير من قد علما
والآل والـصـحـب وكـل مرشد * وكـل مـن بخير هدى يقتدي
وأسـال الـكـريم إخـلاص العمل * ونـفـع كل من بها قد اشتغل
Langgan:
Catatan (Atom)
VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM
Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul
MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM
· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.
· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.
OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM
· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.
· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.
· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.
· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.