Pengumuman Penting
SILA LIHAT RAYUAN SUMBANGAN DI BAHAGIAN KANAN BLOG INI > > > > > > > > > > > > V V V V V V
04 Disember, 2011
Kelebihan Hari Asyura'
Beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Asyura’. Telah khilaf sebahagian ulama’ pada menetapkan Hari Asyura’. Setengahnya mengatakan jatuh pada 10 Muharram. Dan setengahnya mengatakan pada tanggal 9 Muharram. Bahkan ada segelintir pula ulama’ mengatakan jatuhnya Hari asyura’ ini pada 11 Muharram. Tetapi pendapat yang paling sahih ialah hari yang ke-10 Muharram dinamakan Hari Asyura’ (يوم عاشوراء) sedangkan hari yang ke-9 Muharram dinamakan pula Hari Tasua’ (يوم تاسوعاء). Menyambut Hari Asyura’ bukan semestinya merayakannya dengan makanan-makanan yang lazat atau merancang program-program yang khusus pada hari tersebut. Tetapi menyambutnya dengan meningkatkan amal ibadat serta merebut peluang fadhilat-fadhilat yang ada pada hari tersebut selain menjadikannya sebagai pengajaran dan iktibar diatas beberapa peristiwa besar dan penting yang berlaku pada hari itu dalam sejarah tamadun manusia. Janganlah kita jadikan Hari Asyura’ ini sebagai hari kesukaan dan perayaan kerana orang-orang Yahudi menjadikan Hari Asyura’ ini sebagai Hari Raya mereka. Dan jangan pula kita jadikan Hari Asyura’ ini sebagai hari kesedihan musibah dan dukacita sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Syia’h disebabkan peristiwa pembunuhan Sayyidina Hussain Bin Ali (r.a) di Karbala pada hari tersebut.
Mari kita lihat, apakah amalan-amalan yang dianjurkan pada Hari Asyura’. Juga peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari itu. Petikan dan terjemahan daripada kitab “Mulakkhos Ahkam Yaumi Asyura” (ملخص أحكام يوم عاشوراء) karangan Asy-Syeikh Diyab Ahmad Diyab As-Sudani. Juga diselangi beberapa hadis yang diambil daripada kitab "Jamu’l Fawaid" (جمع الفوائد).
Ringkasan Kelebihan Hari Asyura’
Muqaddimah:
Hari Asyura’ ialah hari yang ke-10 daripada bulan Muharram awal tahun Hijrah. Ketika mana Rasulullah (s.a.w) berhijrah dari Mekah ke Madinah, Nabi mendapati kaum Yahudi berpuasa pada Hari Asyura’. Apabila ditanya, lalu mereka berkata: Hari ini ialah hari yang Allah Taa’la menyelamatkan Nabi Musa daripada tenggelam didasar lautan dan membinasakan Fira’un. Dan kami berpuasa pada hari ini kerana bersyukur kepada Allah Ta’ala. Maka Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Kami (kaum muslimin) terlebih utama memperingati tentang Nabi Musa daripada golongan Yahudi”. Lalu Nabi (s.a.w) berpuasa pada hari tersebut, dan menyuruh para sahabatnya dengan berpuasa pada hari itu sebagai ibadat sunat. Dan bersabda ia (Nabi): “Bahawasanya berpuasa pada Hari Asyura’ mengkifaratkan (menghapuskan) dosa setahun”.
Amalan-Amalan Sunat:
1. Berpuasa;
Puasa pada hari ini ialah sunnah sebagaimana kata Qodhi I’yad( القاضى عياض) daripada ulama’ mazhab Imam Malik. Dan diriwayatkan daripada Sayyidina Abdullah Bin Umar Bin Al-A’s (r.a). Bersabda Nabi (s.a.w): “ Barang siapa berpuasa pada Hari Asyura’ seolah-olahnya ia berpuasa setahun”.
2. Solat Sunat;
Adapun sembahyang sunat, seperti barang yang diriwayatkan bahawasanya Nabi (s.aw) bersabda: “ Barang siapa sembahyang pada hari Asyura’ empat rakaat, dibacakan pada tiap-tiap rakaat sesudah al-Fatihah akan (قل هو الله أحد) sebanyak lima belas kali, nescaya diampunkan Allah Taa’la baginya akan dosa 50 tahun dahulunya dan 50 tahun kemudiannya” (yakni dosa-dosa kecil selama 100 tahun).
3. Bersedekah;
Adapun bersedekah pada hari Asyura’ pula disebutkan didalam hadis Nabi (s.a.w): “Barang siapa bersedekah pada Hari Asyura’, adalah pahalanya seperti ia bersedekah selama setahun”. Dan juga datang pada hadis yang lain: “Bahawasanya bersedekah pada Hari Asyura’ dengan satu dirham menyamai 700 dirham”.
4. Meluaskan Belanja;
Disunatkan pada hari ini meluaskan perbelanjaan diatas ahli keluarga berbanding dihari-hari biasa sebagaimana juga dihari raya. Dan memadai meluaskan perbelanjaan itu dengan roti, daging dan buah-buahan yang lebih lazat berbanding hari-hari biasa. Tetapi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah meluaskan akhlaknya (membuat baik) kepada ahli keluarganya, lebih banyak berbanding dihari-hari lain. Bersabda Rasulullah (s.a.w): “Barang siapa yang meluaskan belanja kepada ahli keluarganya pada Hari Asyura’ nescaya Allah Taa’la meluaskan rezki keatasnya sepanjang tahun”.
5. Bercelak;
Disunatkan juga pada hari ini bercelak. Sebagaimana hadis daripada Nabi (s.a.w): “Barang siapa bercelak pada Hari Asyura’ dengan ‘asmud’(sejenis batu celak) nescaya tidak sakit mata ia selama-lamanya”.
6. Mandi Sunat;
Disunatkan pula mandi pada hari ini sebagaimana mandi junub dari segi rukun dan penyempurnaannya. Bersabda Nabi (s.a.w): “Barang siapa mandi pada Hari Asyura’ nescaya tidak sakit ia pada tahun itu melainkan sakit hendak mati”.
7. Menghubungkan Silatur Rahim;
Adapun mennghubungkan silaturrahim (tali persaudaraan), maka bahawasanya tuntutannya amatlah muakkad (dituntut sungguh-sungguh) pada hari ini. Al-Arham (persaudaraan) itu ialah kaum kerabat sama ada dari pihak bapa ataupun dari pihak ibu.
8. Ziarah Ulama’;
Disunatkan menziarahi para alim ulama’ pada hari ini sama ada yang masih hidup (ziarah kerumahnya) atau yang telah meninggal dunia (ziarah makam atau pusaranya). Sebagaimana diriwayatkan dalam khabar (hadis): “ Barang siapa datang kepada orang alim pada Hari Asyura’ kerana hendak mendengar atau belajar akan suatu masalah dalam agamanya dan apa-apa yang memberi manfaat kepadanya di akhirat nescaya diberikannya pahala seumpama pahala Muhajirin dan Ansar”.
9. Menyapu Kepala Anak Yatim;
Disunatkan menyapu kepala anak yatim sebagai simbolik kepada bersedekah, memberi makan dan lembut tutur kata. Dan diberikan pahala orang yang melakukannya sebanyak bilangan helai rambut diatas kepala anak yatim yang terkena gosokan tangan orang yang menyapunya. Bersabda Nabi (s.a.w): “Barang siapa menyapu kepala anak yatim pada Hari Asyura’ nescaya diangkatkan dia Allah Taa’la dengan tiap-tiap helaian rambut itu akan pangkat darjat didalam syurga”.
Kaifiat (cara) menyapu kepala anak yatim: Dimulakan dari belakang terus ke depan. Kalau kanak-kanak biasa yang masih mempunyai bapa disapukan kepalanya mulai dari hadapan ke belakang.
10. Menziarahi Orang Sakit;
Disunatkan menziarahi orang sakit, dan dikuatkan lagi tuntutan itu pada hari ini sebagaimana datang pada hadis Nabi. Sabdanya (s.aw): “Barang siapa menziarahi akan orang sakit pada Hari Asyura’, maka seolah-olahnya dia menziarahi akan sekelian anak Adam (a.s)”.
11. Membaca Surah Al-Ikhlas;
Disunatkan membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak seribu kali seperti mana riwayat daripada Sayyidin Ali (r.a) katanya: “Barang siapa membaca pada Hari Asyura’ akan (قل هو الله أحد) seribu kali, menilik rahmat kepadanya oleh Tuhan Ar-Rahman. Dan barang siapa yang menilik Tuhan Ar-Rahman kepadanya, nescaya tidak akan diseksa akan dia selama-lamanya”.
12. Membaca Hasbalah;
Disunatkan membaca ‘Hasbalah’ iaitu: (حَسْبِيَ اللهُ وَنِعْمَ الوَكِيْلُ وَنِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ) sebanyak 70 kali, nescaya tidak akan mati ia pada tahun itu. Dan jika sudah hampir ajalnya, nescaya tidak diberikan taufiq oleh Allah Taa’la untuk membacanya pada tahun itu.
13. Mengerat Kuku;
Disunatkan juga pada hari ini mengerat kuku dan menghilangkan kekusutan diri.
14. Menghidupkan Malam;
Disunatkan menghidupkan malam Asyura’ ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan soleh seperti: solat, berzikir, membaca Al-Quran dan lain-lain.
Peristiwa Yang Berlaku Pada Hari Asyura’ Yang Menunjukkan Kemuliaan Para-Para Nabi:
1. Nabi Adam (a.s);
• Dimasukkankan kedalam syurga.
• Diterima taubat kesilapannya.
2. Nabi Ibrahim (a.s);
• Dilahirkannya pada hari ini.
• Diselamatkan daripada kepanasan api apabila dicampakkannya ke dalam api.
3. Nabi Musa (a.s);
• Selamat daripada tenggelam didasar lautan.
• Binasanya musuh Nabi Musa, Fira’un Laknatullah.
4. Nabi Isa (a.s);
• Dilahirkannya pada hari ini.
• Diangkatkannya ke langit.
5. Nabi Idris (a.s);
• Diangkatkannya ke tempat yang tinggi (langit).
6. Nabi Nuh (a.s);
• Berlabuh bahteranya diatas bukit Judiy.
7. Nabi Sulaiman (a.s);
• Dikembalikan semula kepadanya akan kerajaannya yang besar.
8. Nabi Yunus (a.s);
• Dikeluarkannya dari perut ikan nun.
9. Nabi Ya’kob (a.s);
• Dihilangkan daripadanya kesedihan dan dukacitanya.
10. Nabi Yusuf (a.s);
• Dikeluarkannya daripada dasar telaga.
11. Nabi Ayub (a.s);
• Disembuhkannya daripada penyakitnya.
Peristiwa Besar Lain Yang Berlaku Pada Hari Asyura’:
1. Dijadikan Arasy.
2. Dijadikan Kursi.
3. Dijadikan tujuh petala langit.
4. Dijadikan tujuh petala bumi.
5. Dijadikan matahari.
6. Dijadikan bulan.
7. Diturunkan hujan yang pertama dari langit.
Doa’ Asyura’:
سُبْحَانَ للهِ مِلْءَ الْمِيْزَانِ وَمُنْتَهَى الْعِلْمِ وَمَبْلَغَ الرِّضَا وَزِنَةَ الْعَرْشِ لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَأَ مِنَ اللهِ إِلاَّ إِلَيْهِ سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ كَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّاتِ كُلِّهَا أَسْأَلُكَ السَّلَامَةَ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ وَهُوَ حَسْبِى وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ وَنِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَأَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
*Petikan Dan Terjemahan Daripada Kitab (ملخص أحكام يوم عاشوراء) Dan Kitab (جمع الفوائد).
Langgan:
Catatan (Atom)
VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM
Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul
MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM
· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.
· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.
OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM
· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.
· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.
· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.
· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.