Pengumuman Penting

 SILA LIHAT RAYUAN SUMBANGAN DI BAHAGIAN KANAN BLOG INI > > > > > > > > > > > > V V V V V V

24 April, 2009

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani(Pengarang Kitab "Siarus Salikin") Wafat Sebagai Syuhada


LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah.
SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.Dua karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang paling popular ialah Hidayat as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Nama lain untuk Hidayat as-Salikin ialah as-Salikin, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, yang merupakan terjemahan kitab Bidayat as-Salikin karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahannya yang cukup banyak

Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah, Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Sheikh Abdur Rahman al-Masri.

Diceritakan oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.

Di Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan perbandingan pula.

Sheikh Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.

Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).

Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan, menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.

Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.

Dengan tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani membantah.

Khalayak ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu. Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.

Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja.

Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan.

Maka beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula.

Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.

Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah menunjukkan keteguhan pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan.

Pulang ke nusantara buat kali kedua

Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman, terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.

Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah.

Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.

Di sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa.

Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas melaksanakan ibadah haji.

Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.

Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).

Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M).

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.

Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka.

Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.

Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.

Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.

Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.

Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.

Sementara itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan.

Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’ itu.

Para pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.

Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada 1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M, perlu kepada penyelidikan lanjut.

Kesimpulannya, kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai seorang ‘syuhada’.

16 April, 2009

مقدمة كتاب سير السالكين


بسم الله الرحمن الرحيم



وَبِهِ نَسْتَعِيْن



Aku mulai kitab ini dengan nama (الله) yang Amat Murah lagi Amat Mengasihani akan hamba-Nya.



Suatu amalan yang tidak boleh tidak sepatutnya kita lakukan atau contohi iaitu, memulakan sebarang atau apa jua pekerjaan yang baik-baik dengan kalimah بسم الله الرحمن الرحيم




اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالمَيْنَ ، الَّذِىْ وَفَّقَ مَنْ أَرَادَبِهِ خَيْرًا فِىْ سُلُوْكِ طَرِيْقِ اْلأَئِمَّةِ الصُّوْفِيَّةِ الْمُحَقِّقِيْنَ



Segala puji bagi (الله) Tuhan sekelian alam yang memberi taufiq Ia akan seorang mengkehendak Ia dengan Dia kebajikan pada menjalan akan jalan segala Imam Ahli Sufi yang Muhaqqiqien.



Seterusnya, pengarang kitab ini memuji (الله تعالى) yang memberi taufiq kepada seseorang yang Dia kehendaki kepada melakukan iaitu mengikuti jalan para Imam Ahli Sufi yang hak – Muhaqqiqien (iaitu maksudnya yang mantap imannya). Begitu jugalah tauladannya kepada kita, maka pujilah (الله تعالى) dengan sebanyak-banyak pujian; memuji Tuhan yang memberikan taufiq untuk menuju kepada jalan kebenaran sedangkan begitu ramai manusia yang disesatkan. Puji itu membawa maksud bersyukur iaitu mensyukuri nikmat Tuhan yang memberi petunjuk dan kekuatan untuk melaksanakan taat dan amal kebajikan.



Terkandung dalam sebutan taufiq itu adalah petunjuk dan kekuatan anugerah Tuhan untuk cenderung dan melakukan segala amalan taat dan meninggalkan tegahan dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan Rabbul Jalil, yang amat Pemurah limpah kurniaan-Nya lagi Maha Belas Kasihan. Ada orang yang diberi hanya petunjuk atau Hidayah untuk ketaqwaan tetapi tidak mendapat taufiq untuk melaksanakan ketaatan. Aqal yang cetek sentiasa memberikan pelbagai alasan serta seribu macam kesibukan walhal sebenarnya taufiq yang tidak diberikan atau dianugerahkan. Telitilah diri kita sendiri. Ibaratnya, orang yang diberi ilmu tetapi tidak dapat melakukan amal. Begitulah orang yang tidak diberikan taufiq dan tidak sentiasa memohon limpahan taufiq dari Tuhan Pencipta untuk beramal sedangkan ilmu (hidayah) sudah ada pada diri diberikan.



Jadi, hendaklah kita semua sentiasa memerhati diri kita sendiri, dan bersyukurlah akan limpahan hidayah dan taufiq yang diberikan dan janganlah leka dan lalai daripada memohon dengan hina lagi penuh kehinaan diri kita sendiri di hadapan Tuhan, memohon anugerah atau kurniaan taufiq dan hidayah demi keselematan kehidupan kedua selepas dimatikan.



Ada juga orang yang diberi taufiq untuk melakukan ketaatan dalam usaha menuju ke jalan ketaqwaan. Bagaimanapun, jalan yang diikuti untuk itu adalah jalan yang tidak haq. Maka, dengan taufiq yang diberikan, berpenat-penatlah orang berkenaan sedangkan apa yang dilakukan bukanlah mengikut jalan yang haq sebagaimana yang dijalani oleh para Imam Ahli Sufi yang Muhaqqiqien. Jadi, takutlah kita kepada Tuhan, dan mohonlah dengan penuh kehinaan mudah-mudahan diberikan akan taufiq untuk melakukan kebaikan, dan hidayah atau petunjuk atau ilmu yang haq yang diredhai oleh Tuhan. Jika tidak demikian, tersesatlah kita sedangkan tidak leka atau berhenti daripada melakukan ketaatan dengan taufiq yang diberikan.



Taufik adalah kekuatan kurniaan Tuhan untuk melakukan amalan ketaatan dan menjauhi tegahan. Sesungguhnya;



لاَ حَولَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِا للهِ



Maksudnya:


"Dan tidak ada daya upaya untuk berbuat baik dan meninggalkan kejahatan melainkan dengan pertolongan Allah"



Itulah kefahaman yang sepatutnya kita tahu yang berkaitan dengan taufiq daripada (الله تعالى).


Sebaliknya, lawan kepada taufiq pula adalah kekuatan yang diberikan Tuhan kepada seseorang untuk melakukan kemaksiatan dan kederhakaan kepada Tuhan. Contohnya banyak boleh kita lihat. Semakin tua seseorang, maka semakin bijak dia berputar belit, menipu, dan sebagainya – yang dikatakan oleh mereka kebijaksaaan daripada pandangan mata mereka sendiri. Diberikan kekuatan kepadanya untuk meninggalkan apa yang disuruh seperti mengabaikan sembahyang, mengelak membayar zakat, pergi ke luar negeri apabila bulan puasa, boleh keluar negeri berkali-kali tetapi tidak mampu ke Mekah/Madinah untuk menunaikan haji dan umrah, dan sebagainya.


Juga, diberikan anugerah kekuatan untuk melakukan pula apa yang ditegah dan bergembira dengan perbuatan-perbuatan tersebut seperti berupaya meminum arak bergelas-gelas, mampu berzina, mencuri, mengumpat orang, menghina orang lain dengan kekayaan yang diberi dan sebagainya. Itulah umpama lawan kepada taufik iaitu kekuatan yang diberikan kepada seseorang oleh Ilahi untuk seseorang itu meninggalkan apa yang disuruh dan melakukan maksiat lagi kebinasaan.





وَهَدَاهُ إِلىَ مَعْرِفَتِهِ بِبَصَرِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِيْقَانِ



Dan memberi petunjuk Ia akan dia kepada mengenal akan dia dengan penglihatan iman dan yaqin.





Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, petunjuk atau hidayah itu diberikan Tuhan kepada seseorang yang mana dengan petunjuk itu orang yang berkenaan akan dapat mengenal Tuhan dengan pandangan iman lagi yaqin ia akan apa yang dikenalinya itu.


Pada umumnya, salah suatu bentuk petunjuk atau hidayah itu ialah dorongan untuk menuntut ilmu agama. Yang kita amat perlukan ialah petunjuk yang diberikan Tuhan kepada menuntut ilmu agama yang hak kerana hanya dengan ilmu yang benar atau hakiki itu sajalah kita akan memperolehi “kenal” akan Tuhan sendiri. Dengan petunjuk ke jalan yang hak, maka kita akan memperolehi ilmu yang merupakan nur yang menyuluh kepada iman lagi yaqin akan Tuhan.


Lawan kepada hidayah itu ialah buta dan kesesatan. Hati yang tidak diberi petunjuk adalah hati yang buta atas jalan kebenaran. Orang yang dibutakan mata hatinya, dan ditulikan telinga hatinya adalah orang yang buta dan tuli daripada menerima ilmu kebenaran. Juga, apa yang lebih kita takuti lagi ialah petunjuk tetapi petunjuk yang diberikan adalah ke arah jalan kesesatan, lalu menyebabkan kita diberi ilmu tetapi ilmu yang sesat dan jauh menyeleweng dari jalan yang hak yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan.


Demikianlah secara umumnya pengertian hidayah dan taufiq. Kedua-duannya amat didahagakan demi keselamatan kita di dunia dan Akhirat. Mohonlah ampun dan mintalah bersungguh-sungguh kepada Tuhan kita (الله تعالى) yang rahmat-Nya melebihi kemarahan-Nya.


Bersyukurlah sentiasa dengan hidayah dan taufiq yang diberikan dan sentiasalah berdoa agar kita semua diberikan hidayah untuk jalan kebenaran dan taufiq untuk melakukan ketaatan; bukan “buta” iaitu lawan kepada hidayah itu, iaitu kesesatan, dan lawan kepada taufiq itu, iaitu kekuatan melakukan maksiat dan kederhakaan.


Mudah-mudahan kita semua mendapat kefahaman yang hak kerana bukan kami yang memberi faham. Sebaliknya Dia-lah (الله) yang memberi faham kepada barang siapa yang dikehendakiNya. Dia yang mengajar dengan perantaraan pena.





وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ سَيِّدِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ



Dan rahmat (الله) dan salam-Nya atas penghulu kita Muhammad, iaitu penghulu segala Anbiya’ dan segala Rasul.



وَعَلى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِيْنَ هُمْ قُدْوَةُ الْعَارِفِيْنَ



Dan atas keluarganya dan segala sahabatnya yang adalah mereka itu ikutan sekalian ‘arifin



وَعَلى تَابِعِيْهِمْ وَتَابِعِى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانِ إِلى يَوْمِ الدِّيْنِ



Dan atas yang mengikut akan mereka itu (tabi’in), dan yang mengikut bagi yang mengikut mereka itu (tabi’it tabi’in), dengan berbuat amal kebajikan hingga hari Qiamat.





Perhatikan di sini, setelah



i) memulakan pekerjaan dengan kalimah Basmallah diikuti dengan

ii) mengucapkan Hamdallah iaitu mengucapkan segala puji bagi Allah Ta’ala Tuhan sekelian alam, yang Maha Pemurah lagi melimpah luas yang teramat luas rahmat-Nya; yang mana antaranya adalah kurniaan taufiq dan hidayah kepada hamba yang dikehendaki-Nya



maka seterusnya, sepatutnyalah



iii) mengucapkan shalawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw, yang juga merupakan penghulu kepada para Nabi dan para Rasul, dan juga

iv) ke atas keluarga baginda, dan para sahabat baginda yang mana mereka itu semua, yakni amalan dan tingkah laku mereka dalam soal iman dan taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala), merupakan contoh ikutan bagi orang-orang yang diberi hidayah dan petunjuk, lagi mengenal Tuhan iaitu arifin.



Seterusnya, kita mengucapkan agar rahmat Allah Ta’ala dan salam kesejahteraan kepada



v) para tabiin, iaitu generasi anak-anak para sahabat Rasulullah saw yang tidak bertemu dengan baginda di masa hayat baginda, iaitu generasi orang yang mengikut sunnah Nabi kita dan tingkah laku para sahabatnya yang haq atau benar lagi pada jalan kebajikan, dan

vi) para tabiin-tabiin, iaitu generasi seterusnya yang mengikut panduan dan amalan para tabiin itu tadi, dan seterusnya

vii) orang-orang yang berada pada jalan kebenaran iaitu jalan yang dipandu oleh Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw, yang mana juga merupakan jalan yang diikuti oleh keluarga dan sahabat baginda, para tabiin, dan para tabiin tabiin; sehinggalah hari Qiamat.





وَبَعْدُ ، فَيَقُوْلُ الْفَقِيْرُالْمِسْكِيْنُ الْمُحْتَاجُ إِلى رَحْمَةِ رَبِّ اْلعَالَمِيْنَ ، عَبْدُ الصَّمَدِ الْجَاِوىُّ الْفَلِمْبَانِىُّ ، تِلْمِيْذُ الْقُطْبُ الرَّباَّنِىِّ وَالْعَارِفِ الصَّمَدَانِىِّ سَيِّدِىْ الشَّيْخِ مُحَمَّدِ بْنِ الشَّيْخِ عَبْدِالْكَرِيْمِ السَّماَّنِ الْمَدَنِىِّ



Adapun kemudian daripada itu, maka lagi akan berkata faqir yang miskin, yang berkehendak kepada rahmat rahmat Tuhan sekelian alam, iaitu ‘Abdul Samad Al-Jawi Falembani, murid (قطب الربانى والعارف الصمدنى) Sidi Sheikh Muhammad yang anak Syeikh ‘Abdul Karim Samman Al-Madani.







Faqir bermaksud orang yang papa yang tahapnya lebih rendah daripada orang miskin. Jamak, atau bilangan banyak, kepada faqir ialah fuqara’.



Quthub (قطب) bermaksud gelaran pangkat yang tertinggi seorang wali (الله). Quthub adalah ketua wali (الله) untuk zamannya. Kita akan bincangkannya lebih lanjut, insya’Allah suatu masa nanti, pecahan-pecahan seperti maksud-maksud Quthbul Hasyyah, Qutbul Qahir, Ahlu Saqithir Rafraf, Imaman, Ruqaba’, dan sebagainya.



Rabbani (ربانى) pula bermaksud yang dinisbahkan (iaitu dibangsakan, perbandingan) kepada ketuhanan. Takrif istilah rabbani dalam ilmu tasauf ialah seseorang salik yang sempurna ilmu pengetahuan tentang dirinya dan ketuhanan, serta dilengkapi dengan taqwa.



Salik bermaksud orang yang menjalankan ruhaninya kepada (الله تعالى) dengan sistem sufiah - kesufian - yang mana mengutamakan kebersihan hati, suci bathin dan zahirnya daripada mukhalafah (pada umumnya bermaksud menyamakan sesuatu) akan (الله). Taqwa pula secara umumnya:



a) melaksanakan ketaatan iaitu dengan mengerjakan apa yang diwajibkan/disuruh dan/atau digalakkan dilakukan, (iaitu yang berkenaan dengan taklif wajib dan sunat), dan



b) tidak menderhaka iaitu dengan meninggalkan apa yang ditegah/dilarang dan/atau tidak disukai oleh Allah Ta’ala, (iaitu yang berkenaan dengan taklif haram dan makruh).



Perhatikan, saya belum lagi menghuraikan maksud salik lagi dengan terperinici, dan juga istilah taqwa (khususnya kepada saudara-saudara yang baharu belajar).



Apabila disebut rabbaniyah, ianya bermaksud dinisbahkan (iaitu, dibangsakan atau dibuat bandingan) kepada Tuhan semata-mata.



‘Arif (عارف), atau ‘Arif Billah, atau ‘Arif Ar-Rabbani, bermaksud orang yang sampai ke peringkat kasyaf dan mengenal (الله) dengan pengenalan yang hak (haqiqi) melalui perasaan ruhani setelah melalui disiplin keilmuan dan amalan shufi. Sebelum ini, saya ada menyebut ‘ariffin, yang mana merupakan jamak (kata banyak) kepada perkataan ‘arif. Kita tangguhkan dulu maksud atau pengertian kasyaf yang disebutkan ini dahulu buat sementara, insya’Allah akan dihuraikan suatu masa nanti.


Dengan penjelasan ringkas di atas, saya berharap mudah-mudahan saudara dapat memahami maksud kata-kata Syeikh Abdul Samad Al-Jawi Al-Falembani di dalam matan di atas, yang menyatakan bahawa ia murid kepada Qutbubur Rabbani wal Arif (قطب الربانى والعارف الصمدنى) Tuan Sheikh Muhammad bin Sheikh Abdul Karim As-Saman Al-Madani.





غَفَرَالله ُ لَهُ وَلِوَالِدَيْهِ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ بِجَاهِ سَيِّدِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَأَوْلِياَءِاللهِ الصَّالِحِيْنَ آمِيْنَ



Mudah-mudahan diampun (الله تعالى) baginya dan bagi ibu bapanya dan bagi segala Muslimin dengan berkat kemegahan Sayyidul Anbiya’ dan segala Rasul dan segala Aulia’ Allah yang sholihin - آمين.





Di sini As-Sheikh pengarang kitab ini berdoa seperti yang disebutkan di dalam matan itu - آمين.







لَمَّا كاَنَتْ سَنَةُ أَلْفٍ وَمِائَةٍ وَثَلاَثٍ وَتَسْعِيْنَ مِنْ هِجْرَةِ النَّبىَّ صَلىالله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أِلْهَمَ الله ُتَعَالى فِىْ قَلْبِىْ أَنْ أُتًرْجِمَ كِتَابِ إِمَامِ الْفُقًهَاءِ اْلعَالِمِيْنِ ، وَقُدْوَةِ الصُّوْفِيَّةِ الْمُحَقِّقِيْنَ ، اَلْمُسَمَّى بِلُبًابٍ إِحْيَاءِ عُلُوْمِ الدِّيْنِ ، اَلْجَامِعِ بَيْنَ الشَّرِيْعَةِ وَالطَّرِيْقَةِ ، وَالْمُتَضَمِّنِ فِيْهِ عِلْمُ أُصُوْلِ الدِّيْنِ وَالْفِقْهِ وَالتَّصَوُّفِ النَّاِفعُ ، بِكَلاَمِ الْجَاِوىِّ مَعَ زِيَادَةِ فَوَائِدَ نَفِيْسَةِ ، لِيَنْتَفِعَ بِهِ مَنْ لاَ مَعْرِفَةَ لَهُ بِكَلاَمِ الْعَرَبِ



Ertinya, tatkala adalah tahun seribu seratus sembilan puluh tiga daripada hijrah Nabi (صلى الله عليه وسلم) [ 1193H); mengilhamkan (الله تعالى) di dalam hatiku bahawa aku terjemahkan akan kitab Imam bagi fuqaha’ yang alim, dan yang jadi ikutan ulama’ shufi yang Muhaqqiqin yang dinamai akan kitab itu dengan Lubab Ihya’ ‘Ulumiddin (لباب احياء علوم الدين), iaitu mukhtasar Ihya’ ‘Ulumiddin; yang menghimpunkan ia antara Syari’ah (شريعه) dan Thariqat (طريقة) yang terkandung di dalamnya itu ‘Ilmu Usuluddin, dan ‘Ilmu Fiqah, dan ‘Ilmu Tasauf; yang memberi manafaat bagi orang yang menjalani jalan Akhirat. Padahal aku terjemahkan kitab ini dengan bahasa Jawi serta aku tambah beberapa faedah (فائده) yang baik-baik; supaya memberi manafaat dengan dia orang yang tiada mengetahui baginya itu dengan bahasa ‘Arab.





Muhaqqiqien bermaksud yang mantap iman.

Mukhtasar bermaksud ringkasan.





وَسَمَّيْتُهُ بِسَيْرِ السَّالِكِيْنَ إِلى عِبَادَةِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ



Dan aku namai akan dia dengan Siyarus Salikin Ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin (سير السالكين الى عبادة رب العالمين).





Untuk bacaan selanjutnya, saya akan membubuhkan tanda fathah, kasrah, dan dhammah untuk memudahkan bacaan. Bacaan di atas (lebih kurang) "Wa sammaituhu bi Sairis Salikin Ila 'Ibadati Rabbil 'Alamin". Saya ingin berpesan kepada saudara/i, jika kita membaca atau menulis ayat Quran, janganlah kita melakukan sedemikian kerana ianya boleh mengubah makna. Hendaklah kita mengekalkan di dalam tulisan Arab dan membaca nya dengan berpandukan tulisan Arab tersebut, iaitu jangan diromankan sama sekali. Ayat di atas bukan ayat Quran. Jadi, bolehlah dilakukan jika tak berkemampuan membaca dalam bahasa Arab (sekali sekala).


Pertimbangkan (بِسْمِ) - bismi yang bermaksud "dengan nama". Bi bermaksud dengan. Jadi dengan "Bi Sairis ..." bermaksud "Dengan Sairis ...". Jika kita memisahkan Bi tadi, maka kita akan membacanya pula sebagai "Sairus Salikin Ila Ibadati Rabbil Alamien". Maksudnya ialah "Perjalanan orang menuju kepada beribadat kepada Tuhan sekelian alam".





نَفَعَنَا الله ُبِهِ وَإِيَّاكُمْ كَمَا نَفَعَ بِأَصْلِهِ اَنَّهُ جَوَادٌ كَرِيْمٌ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَقُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ





Ertinya, mudah-mudahan memberi manafaat (الله تعالى) akan daku dan akan kamu seperti memberi manafaat ia dengan asalnya kerana (الله تعالى) itu [ Amat ] Murah lagi [ Amat ] Mulia. Dan tiada daya daripada menjauh maksiat dan tiada upaya pada berbuat taat melainkan dengan anugerah (الله تعالى) yang Maha Tinggi dan Maha Besar.



وَأَنْ يَجْعَلَهُ خَالِصًا لِوَجْهِ الْكَرِيْمِ ، وَسَبَبًا لِلْفَوْزِ بِجَنَّاتٍ النَّعِيْمِ



Dan mudah-mudahan bahawa sungguhnya menjadikan (الله تعالى) akan dia tulus ikhlas bagi zat-Nya yang Maha Mulia, dan dapat kemenangan dengan Syurga yang amat nikmat.





وَهُوَ يَشْتَمِلُ عَلى مُقَدِّمَةٍ وَأَرْ بَعَةِ أَقْسَامِ ، الْقِسْمُ اْلأَوَّلُ فِىْ أُصُوْلِ الدِّيْنِ وَهُوَ اْلاِعْتِقَادَاتُ وَالطَّاعَاتُ ، وَالْقِسْمُ الثَّانِىْ فِىْالْعَادَاتِ ،وَالْقِسْمُ الثَّالِثُ فِىْ الْمُهْلِكَاتِ ، والْقِسْمُ الرَّابِعُ فِىْ الْمُنْجِيَاتِ ، وَخَاتِمَةٍ



Dan iaitu melengkapi atas suatu muqaddimah dan atas atas empat bahagi::



( Bermula ) bahagi yang pertama itu pada menyatakan ‘ilmu usuluddin, iaitu segala i’tiqad ahli sunnah dan jamaah, dan menyatakan segala taat ya’ni ‘ibadat yang dzahir;



( Dan ) bahagi yang kedua pada menyatakan ‘adat, ya’ni pada menyatakan hukum adab yang berlaku pada ‘adat seperti makan minum, dan nikah, dan berusaha yang membawa kepada kehidupan di dalam dunia, dan mengetahui yang haram dan halal, dan pada menyatakan adab bershahabat, dan yang lainnya seperti yang lagi akan datang kenyataannya itu (ان شاء الله تعالى);



( Dan ) bahagi yang ketiga pada menyatakan muhlikat (مهلكات), ya’ni membinasakan sekelian ‘amal, iaitu segala maksiat yang dzahir dan maksiat yang bathin seperti yang lagi akan datang kenyataannya;



( Dan ) bahagi yang keempat pada menyatakan munjiyat (منجيات), ya’ni melepaskan daripada membinasakan sekelian ‘amal, iaitu segala ‘ibadat bathin seperti yang akan datang kenyataannya;



( dan ) suatu khatimah (خاتمة), ya’ni kesudahan kitab.

(والله الموافق) - Wallahul muwafiq.



Dengan ini kita sudahi bahagian Al-Basmallah dan Khutbah Kitab. Bacaan selanjutnya adalah bahagian (مقدمة فى بيان العلم و فيه فصول) - bermula pada muka surat tiga (3) kitab Sairus Salikin Versi Jawi.


(والله الموافق ) - Wallahul muwafiq ya'ni "Dan (الله تعالى) lah yang memberikan taufiq.



والله الموفق أعلم ؛ وصلى الله على محمد كلما ذكره الذاكرون؛ وغفل عن ذكره الغا فلون ؛ والسلام عليكم ورحمة الله وبركته

{ Dari Kitab "SAIRUS SALIKIN" }

Carta Struktur Organisasi

Carta Struktur Organisasi
Pusat Pengajian Islam Mohd Nor Al-Bakri

VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul

MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.

· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.

OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.

· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.

· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.

· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

القرآن